Piala Dunia lonjak nama Norway di pentas global – Haaland

penyerang Norway, Erling Haaland/ REUTERS

MIAMI, 12 Julai – Penyerang berbisa Norway, Erling Haaland menyifatkan pencapaian pasukannya di pentas Piala Dunia telah berjaya memberi inspirasi kepada generasi baharu, meskipun terpaksa menelan kepahitan selepas disingkirkan England di peringkat suku akhir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jude Bellingham meledak dua gol, menjamin England ke separuh akhir dan menyingkirkan Norway.
  • Haaland sebelum ini menjaringkan tujuh gol untuk membawa Norway ke suku akhir termasuk menewaskan Brazil.
  • Dia dikeluarkan pada masa tambahan kerana cuaca panas, mengalami kecederaan ringan dan keletihan.
  • Jurulatih Solbakken puji kempen Haaland dan mengakui penggantian perlu kerana pemain sudah kehabisan tenaga.

Dalam aksi mendebarkan itu, Haaland gagal menjaringkan gol buat kali pertama dalam 15 perlawanan kompetitif bersama skuad kebangsaan selepas dua gol daripada rakan karibnya, Jude Bellingham, memastikan tiket separuh akhir menjadi milik England.

Penyerang Manchester City itu sebelum ini meledak tujuh gol dalam empat perlawanan untuk memimpin Norway mara ke suku akhir dalam penampilan pertama mereka di Piala Dunia sejak 28 tahun lalu, termasuk mengejutkan juara dunia lima kali, Brazil di pusingan 16 terbaik.

“Kejayaan meletakkan Norway di peta bola sepak dunia adalah perkara yang paling menyentuh hati saya.

“Saya berharap kami dapat membina sesuatu yang konsisten selepas ini bagi menghadapi Kejohanan Eropah (Euro) dan Piala Dunia akan datang.

“Generasi kami sangat luar biasa dan ini memberi motivasi kepada anak muda di Norway bahawa tidak mustahil untuk beraksi di pentas terbesar dunia dengan menyarung jersi negara sendiri,” kata Haaland.

Mengulas mengenai persembahan Bellingham, Haaland yang pernah beraksi bersama perancang Real Madrid itu selama dua musim di Borussia Dortmund, memuji impak luar biasa rakannya itu dan menyifatkan England bertuah memilikinya.

“Jude merupakan antara pemain terbaik dunia ketika ini. Walaupun beraksi di posisi tengah, dia mampu menjaringkan gol dan menggelecek sesiapa sahaja di padang. England sangat bertuah kerana semua pasukan mahukan pemain seperti Jude,” tambahnya.

Pada perlawanan tersebut, Haaland terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama waktu tambahan ekoran bergelut dengan cuaca panas terik di Miami, di samping mengalami kecederaan ringan pada babak kedua.

Sementara itu, pengendali Norway, Stale Solbakken mengakui keputusan mengeluarkan penyerang utamanya itu terpaksa dibuat memandangkan Haaland mengalami keletihan.

“Ia bukan keputusan yang sukar kerana dia sudah kehabisan tenaga, malah mungkin saya patut mengeluarkannya lebih awal.

“Dia telah meledak tujuh gol dalam lima perlawanan untuk kami. Ia satu kempen Piala Dunia yang hebat buat dirinya,” kata Solbakken. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.