Piala Dunia : Argentina bergelut sebelum mara ke separuh akhir

Foto AFP

KANSAS CITY, 12 Julai -Jaringan menarik Julian Alvarez pada masa tambahan memastikan juara bertahan, Argentina, mara ke separuh akhir Piala Dunia 2026 selepas berhempas-pulas menewaskan Switzerland 3-1.

RINGKASAN BERITA AI
  • Alexis Mac Allister menanduk gol pembukaan hasil hantaran lintang Lionel Messi dari sepakan penjuru.
  • Dan Ndoye menyamakan kedudukan pada minit ke-67 selepas menerima hantaran kemas Ricardo Rodriguez.
  • Breel Embolo diusir selepas kad kuning kedua melalui semakan VAR; Switzerland bertahan kental tetapi kecundang lewat melalui jaringan Lautaro Martinez.

Pada perlawanan berkenaan, sorakan ribuan penyokong gergasi Amerika Selatan itu di Stadium Arrowhead bergema seawal minit ke-10 apabila Alexis Mac Allister menanduk masuk gol pembukaan hasil hantaran lintang ketua pasukan Lionel Messi, menerusi sepakan penjuru.

Switzerland bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-67 menerusi jaringan Dan Ndoye yang menyambut hantaran kemas Ricardo Rodriguez.

Nasib malang menimpa skuad kendalian Murat Yakin itu lima minit kemudian apabila penyerang utama mereka, Breel Embolo, dilayangkan kad kuning kedua dan diarah keluar padang selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati beliau sengaja merebahkan badan.

Tersentak dengan kad merah itu, Switzerland mempamerkan disiplin bertahan yang kental bagi menyekat serangan bertali-arus Argentina sehingga memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Benteng kebal Switzerland akhirnya runtuh pada minit ke-112 apabila Alvarez melakukan rembatan lencong menarik, sebelum Lautaro Martinez melengkapkan kemenangan bergaya Argentina pada minit-minit akhir perlawanan.

Kemenangan skuad bimbingan Lionel Scaloni itu bermakna empat pasukan teratas dalam ranking FIFA akan berentap di pusingan separuh akhir edisi 2026, dengan Argentina kini berada di landasan tepat untuk menjadi pasukan pertama mempertahankan kejuaraan Piala Dunia sejak Brazil melakukannya pada 1962.

Meskipun cemerlang di peringkat kumpulan, skuad Albiceleste sebelum ini dilihat bergelut menentang pasukan kerdil Cape Verde dan terpaksa bangkit daripada ketinggalan ketika menewaskan Mesir dalam laluan ke suku akhir.

Argentina dijadualkan menentang England yang terlebih dahulu mengesahkan tempat selepas menundukkan Norway 2-1. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.