UFC: McGregor tumbang dalam tempoh 69 saat

Atlet UFC, Conor McGregor / AFP

LOS ANGELES, 12 Julai – Kepulangan semula bekas juara dunia dua kali, Conor McGregor ke gelanggang Ultimate Fighting Championship (UFC) selepas menyepi selama lima tahun berakhir dengan duka apabila tewas mengejut kepada Max Holloway dalam tempoh 69 saat akibat kecederaan lutut kanan pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengadil menghentikan perlawanan selepas McGregor rebah tiga kali dalam minit pertama.
  • Max Holloway kecewa, mahu pertarungan ulangan dan berharap kecederaan lawan tidak serius.
  • McGregor dikaitkan dengan sejarah UFC, pernah pegang dua tali pinggang serentak dan mengalami patah kaki kiri 2021.

Pengadil Mike Beltran terpaksa menghentikan pertarungan kategori welterweight di UFC 329 yang berlangsung di Las Vegas itu selepas jaguh Ireland berusia 37 tahun berkenaan terjatuh ke kanvas sebanyak tiga kali dalam tempoh satu minit pertama.

McGregor memulakan aksi dengan agresif apabila melancarkan tendangan roundhouse ke arah Holloway pada saat-saat awal perlawanan.

Namun malang menimpanya apabila lutut kanannya tercedera ketika mendarat di kanvas.

Beliau kemudiannya rebah sebanyak dua kali sambil memegang lutut kanannya.

Situasi berkenaan memaksa pengadil perlawanan bertindak menghentikan pertarungan.

“Apa yang boleh saya katakan? Saya rasa saya telah membuatkan lututnya menjadi lemah.

“Terlalu banyak publisiti (mengenai perlawanan ini). Kita perlu bertarung sekali lagi. Sangat mengecewakan apabila ia berakhir dengan cara sebegini,” kata Holloway yang turut berharap kecederaan dialami pencabarnya itu tidak terlalu serius.

Holloway menambah, beliau sedar pihak lawannya itu berada dalam kesakitan apabila McGregor mula berundur, meskipun riak wajahnya berubah dan masih menjerit menggesa pertarungan diteruskan.

McGregor dilapor meninggalkan gelanggang tanpa memberikan sebarang ulasan.

Pertarungan berkenaan merupakan aksi ulangan kepada pertembungan kategori featherweight pada 2013 yang dimenangi oleh McGregor menerusi keputusan sebulat suara.

Untuk rekod, McGregor sudah lama tidak beraksi sejak mengalami kecederaan patah kaki kiri ketika tewas kepada petarung Amerika Syarikat, Dustin Poirier pada tahun 2021.

Sebelum ini, McGregor merupakan bintang paling popular dalam sejarah UFC, malah menjadi petarung pertama yang memegang dua tali pinggang kejuaraan dalam dua kategori berat badan berbeza secara serentak pada tahun 2016.

Beliau juga dilaporkan meraih pendapatan melebihi AS$100 juta atau (RM443 juta) ketika tewas dalam pertarungan tinju menentang Floyd Mayweather pada 2017.

Kemenangan terakhirnya di pentas UFC adalah ketika menumbangkan Donald Cerrone dalam masa 40 saat pada Januari 2020.

Dalam satu lagi aksi berasingan sebelum itu, petarung England, Paddy Pimblett berjaya menewaskan wakil Perancis, Benoit Saint Denis menerusi teknik kuncian (submission) dalam tempoh hanya 52 saat bagi kategori lightweight. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.