
KUALA LUMPUR, 20 Mei– Stadium Titiwangsa menjadi saksi detik bersejarah apabila skuad sepak takraw kuadran negara berjaya merangkul pingat emas pertama Malaysia pada kejohanan Piala Dunia ISTAF 2026, malam tadi (19 Mei).
- Kemenangan bergaya ke atas India di perlawanan akhir menebus kekecewaan dalam acara regu.
- Ketua jurulatih Ahmad Jais puji peningkatan prestasi pemain dan keberkesanan perubahan taktikal.
- Kapten Ameerul Zazwan anggap kejayaan sangat bermakna; tekanan dan kritikan peminat jadi pembakar semangat.
- Kejayaan melengkapkan koleksi tiga pingat emas Malaysia dalam sejarah Piala Dunia ISTAF, mengukuhkan status negara.
Kemenangan bergaya ke atas India pada pentas akhir itu bukan sahaja menebus kekecewaan skuad kebangsaan dalam acara regu sebelum ini, malah membuktikan kemampuan mereka bangkit mengatasi segala tekanan dan kritikan sepanjang kejohanan.
Ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun berkata kejayaan tersebut hadir hasil daripada peningkatan prestasi pemain serta keberkesanan perubahan taktikal yang diterapkan sepanjang kejohanan.
“Melihat kepada prestasi pemain, terdapat banyak peningkatan dari semasa ke semasa berbanding kejohanan terdahulu. Para pemain telah memberikan persembahan terbaik walaupun berada dalam tekanan.
Kita harapkan mereka akan terus fokus untuk acara berpasukan yang akan membuka gelanggang esok,” kata Ahmad Jais kepada pemberita selepas perlawanan akhir Malaysia menentang India di Stadium Titiwangsa, di sini.
Menurut beliau, para pemain juga mula menguasai aspek taktikal terutamanya dari segi hadangan, walaupun masih terdapat beberapa elemen yang perlu diperkemaskan bagi memastikan skuad negara kekal kompetitif selepas kejohanan ini.
Ahmad Jais turut mengakui kegagalan dalam acara regu memberi pengajaran besar kepada pasukan, selain menjadi peringatan buat pemain agar tampil lebih bersedia dan konsisten menjelang cabaran acara berpasukan yang akan membuka saingan esok.
Sementara itu, kapten yang juga pengumpan utama skuad kuadran negara, Ameerul Zazwan Amir menyifatkan kejayaan muncul juara dunia di laman sendiri sebagai detik paling bermakna dalam kariernya.
Ujarnya, perjalanan skuad kuadran bukanlah mudah memandangkan pasukan berdepan tekanan hebat daripada peminat, selain terpaksa menyesuaikan diri dengan perubahan taktikal baharu dalam tempoh yang singkat.
“Tahun lepas kita berlatih menggunakan taktikal hadangan kaki, tetapi tahun ini, tak silap saya seminggu sahaja kita sempat berlatih hadangan badan.”
“Walaupun ditekan habis-habisan oleh peminat dan pihak pengurusan, saya rasa kita telah melakukan tugas dengan sangat baik hari ini, alhamdulillah,” kata Ameerul kepada pemberita.
Jelas Ameerul, kritikan penyokong menjadi pembakar semangat buat pemain untuk terus memperbaiki kelemahan sehingga akhirnya berjaya membuktikan kemampuan sebenar pasukan di pentas akhir.
“Kejayaan ini terhasil, antaranya adalah disebabkan oleh komen peminat. Kita sedar kekurangan kita dan cuba memperbaikinya dari semasa ke semasa,” katanya.
Kemenangan itu sekali gus melengkapkan koleksi pingat emas ketiga Malaysia dalam sejarah Piala Dunia ISTAF selepas kejayaan dalam acara regu dan beregu pada edisi 2024, selain mengukuhkan status negara sebagai antara kuasa besar baharu dalam arena sepak takraw antarabangsa.