Tang Jie-Ee Wei mara ke pusingan kedua

Beregu campuran utama negara, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei menewaskan wakil Kanada, Jonathan Bing-Crystal Lai dengan keputusan 21-6, 21-14 – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Pasangan beregu campuran utama negara, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei memulakan kempen Kejohanan Masters Malaysia 2026 dengan kemenangan pada pusingan pertama di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tang Jie-Toh Ee Wei menewaskan wakil Kanada 21-6, 21-14 dalam 24 minit.
  • Kemenangan membawa mereka berdepan Amri Syahnawi dan Nita Violina Marwah dari Indonesia esok.
  • Tang Jie kata ia permulaan baik namun perlu tingkatkan banyak aspek permainan.
  • Beregu baharu Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing tersingkir awal selepas tewas kepada wakil China.

Beregu ranking keempat dunia itu tidak berdepan masalah untuk menundukkan wakil Kanada, Jonathan Bing-Crystal Lai menerusi kemenangan straight set 21-6, 21-14 dalam tempoh hanya 24 minit.

Kemenangan tersebut menyaksikan Tang Jie-Ee Wei bakal berhadapan pasangan Indonesia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah esok.

Tang Jie menyifatkan kemenangan itu sebagai permulaan positif buat mereka, namun mengakui masih banyak aspek permainan yang perlu dipertingkatkan menjelang aksi berikutnya.

“Saya rasa ini permulaan yang baik untuk kami, tapi kena buat lebih baik lagi untuk perlawanan esok. Harap yang terbaiklah,” katanya.

Mereka juga tidak mahu terlalu memikirkan lawan yang bakal dihadapi kerana fokus utama adalah terhadap corak permainan sendiri.

“Sama saja macam lawan yang pernah jumpa. Kami cuma fokus kepada diri sendiri dan cuba tunjukkan kekuatan kami bila masuk gelanggang,” katanya.

Gadingan baharu beregu campuran Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing tewas kepada wakil dari China 21-13, 12-21, 16-21. – Foto BERNAMA

Sementara itu Gadingan baharu beregu campuran Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing terpaksa akur dengan penampilan singkat di tugasan pertama mereka.

Pemain profesional itu terkandas awal selepas kecundang kepada wakil dari China 21-13, 12-21, 16-21.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.