
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan empat pengadil dari Qatar bagi mengadili Piala Malaysia 2025-2026 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
- Mohammed Ahmed Al Shammari pengadil utama; Yousuf Aref Al Shamari dan Khaled Aiad Khalaf penolong; Meshari Ali Alshamari VAR.
- Kesemua pegawai mempunyai status pengadil FIFA dan Pengadil Elite Konfederasi Bola Sepak Asia.
- Mereka pernah mengendalikan Piala Dunia B-17 FIFA dan Perlawanan Akhir Qatar Emir Cup.
- Pelantikan dibuat selepas permohonan rasmi MFL, dan FAM tekankan komitmen mengekalkan mutu pengadilan pada standard tertinggi.
Mereka terdiri daripada Mohammed Ahmed Al Shammari selaku pengadil utama, dibantu Yousuf Aref Al Shamari serta Khaled Aiad Khalaf sebagai penolong pengadil pertama dan kedua.
Sementara itu, Meshari Ali Alshamari pula diberi tanggungjawab sebagai pengadil video bantuan pengadil (VAR).
Menurut FAM, kesemua pegawai terbabit merupakan pengadil bertaraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selain berstatus Pengadil Elite Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
“Keempat-empat pegawai ini bukanlah nama asing di pentas bola sepak antarabangsa.
“Pengadil bersama kedua-dua penolong pengadil serta pengadil VAR pernah mengendalikan beberapa kejohanan utama termasuk Piala Dunia B-17 FIFA dan Perlawanan Akhir Qatar Emir Cup, membuktikan pengalaman serta kredibiliti mereka dalam mengurus perlawanan berintensiti tinggi,” menurut kenyataan itu.
FAM menjelaskan, pelantikan itu dibuat selepas FAM menerima permohonan rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) bagi memastikan mutu pengadilan terbaik untuk final edisi ke-99 kejohanan berprestij tersebut.
Untuk rekod, FAM sebelum ini turut menggunakan khidmat pengadil luar negara pada final Shopee Piala FA 2019 membabitkan Perak dan Kedah di venue sama, menerusi pelantikan tiga pegawai perlawanan dari Jepun.
FAM menegaskan komitmen badan induk itu untuk memastikan setiap aspek penganjuran termasuk mutu pengadilan berada pada standard tertinggi selaras reputasi Piala Malaysia sebagai kejohanan bola sepak tertua dan paling berprestij di negara ini.