
KUALA LUMPUR, 30 Jun– Cadangan pembinaan litar sukan permotoran perlu melalui penilaian menyeluruh sebelum dapat dipertimbangkan, termasuk aspek lokasi, kos, keselamatan dan penyelenggaraan.
- Ambil kira bilangan penggiat, tahap penggunaan litar dan kekerapan penganjuran kejohanan.
- Sokongan kajian keperluan perlu termasuk penilaian status tanah.
- Rujuk MAM dan agensi teknikal sebelum sebarang keputusan dibuat.
- Pertimbangkan pencemaran bunyi serta jarak litar dengan kawasan kediaman untuk melindungi komuniti.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, cadangan itu juga perlu mengambil kira bilangan penggiat sukan permotoran, tahap penggunaan litar serta kekerapan penganjuran kejohanan.
“Sebarang cadangan permohonan perlu disokong oleh kajian keperluan yang menyeluruh termasuk anggaran kos dan status tanah.
Paling penting, selepas dana pembinaan diluluskan, siapa yang akan menyelenggarakan litar tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Mohd Hasnizan Harun pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, setiap cadangan pembinaan litar juga perlu dirujuk kepada Motorsports Association of Malaysia (MAM) serta agensi teknikal berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Selain itu, aspek pencemaran bunyi turut diberi perhatian, termasuk jarak litar dengan kawasan kediaman bagi memastikan pembinaannya tidak menjejaskan komuniti setempat.