
KUALA LUMPUR, 7 Januari – Beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, akhirnya menamatkan badi pusingan awal Terbuka Malaysia apabila melangkah ke pusingan kedua edisi 2026 selepas mencatat kemenangan ke atas pasangan India, Rutaparna Panda-Swetaparna Panda, hari ini.
- Pearly Tan dan M. Thinaah mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia 2026 selepas menewaskan adik-beradik Panda 21-11, 21-9.
- Kemenangan dicapai dalam 30 minit dan dianggap permulaan positif untuk musim baharu oleh Thinaah.
- Pearly akui tekanan selepas tiga kekalahan pusingan pertama sebelum ini, persiapan rapi jadi faktor kejayaan.
- Mereka akan berdepan pasangan Indonesia Febriana-Meilysa pada pusingan kedua, dijangka perlawanan sukar.
- Pasangan negara dijadual beraksi esok dengan sasaran melayakkan diri ke suku akhir.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pasangan ranking kedua dunia itu hanya memerlukan 30 minit untuk menundukkan lawan mereka dengan keputusan 21-11, 21-9.
Menurut Thinaah, kemenangan tersebut menjadi permulaan positif buat mereka dalam menghadapi musim baharu.
“Ini hari pertama dan juga musim baharu untuk kami. Kami mahu mengekalkan momentum dan masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Selepas ini kami akan berbincang dengan jurulatih dan cuba tampil lebih baik pada perlawanan seterusnya,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Pearly mengakui wujud tekanan selepas gagal melepasi pusingan awal dalam beberapa edisi sebelum ini, namun persiapan rapi menjadi kunci kejayaan kali ini.
“Sudah tiga kali kami tewas di pusingan pertama dan memang ada rasa kecewa kerana peminat tidak dapat menyaksikan kami beraksi pada hari kedua. Jadi tahun ini kami benar-benar membuat persiapan rapi dan memberi fokus kepada permainan sendiri. Komunikasi dengan jurulatih dan pasangan juga banyak membantu,” katanya.
Mengulas cabaran seterusnya, Thinaah menjangkakan perlawanan sukar menanti mereka apabila dijadual menentang pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari, pada pusingan kedua.
“Kami sudah beberapa kali bertemu mereka dan perlawanan sebelum ini, termasuk final Sukan SEA 2025, memang bukan mudah. Jadi kami perlu bersedia dari segi fizikal dan mental, selain memastikan rehat serta fokus yang baik,” katanya.
Sebagai rekod, Pearly–Thinaah sebelum ini tersingkir seawal pusingan pertama dalam tiga edisi berturut-turut (2023, 2024 dan 2025), selepas debut mereka pada edisi 2022 yang menyaksikan kemaraan hingga pusingan kedua.
Pasangan negara itu dijadual turun beraksi dalam pusingan kedua esok bagi memburu tiket ke suku akhir.