Obor Olimpik teruskan perjalanan rentas Itali

Larian obor Olimpik Musim Sejuk 2026 akan berakhir di Stadium San Siro, Milan pada 6 Februari, menandakan bermulanya secara rasmi temasya berprestij itu/Foto AFP

EMILIA-ROMAGNA, 9 Januari – Larian Obor Olimpik Musim Sejuk Milan-Cortina 2026 meneruskan perjalanan peringkat ke-32 merentasi wilayah Emilia-Romagna, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Larian obor meneruskan peringkat ke-32 merentasi wilayah Emilia-Romagna, singgah di bandar bersejarah dan kilang automotif.
  • Upacara penyalaan kawah Olimpik di Parma dirai meriah, disaksikan ribuan penduduk tempatan.
  • Perjalanan obor adalah sebahagian laluan 12,000 kilometer, berakhir di Stadium San Siro, Milan pada 6 Februari.

Acara itu bermula di Maranello, bandar yang sinonim dengan jenama Ferrari, sebelum obor dibawa ke Modena dan ibu pejabat Maserati.

Beberapa bandar lain seperti Sestola dan Reggio Emilia turut menjadi persinggahan.

Larian obor berakhir di Parma dengan upacara penyalaan kawah Olimpik dalam suasana meriah seperti festival, disaksikan ribuan penduduk tempatan.

Obor Olimpik itu memulakan perjalanannya dari Rome sebulan lalu, sebelum merentasi pulau Sardinia dan Sicily serta bandar-bandar selatan seperti Naples dan Bari, sebagai sebahagian daripada laluan sejauh 12,000 kilometer.

Perjalanan obor tersebut akan berakhir di Stadium San Siro, Milan pada 6 Februari sekali gus menandakan bermulanya secara rasmi temasya berprestij itu.

Milan dan Cortina d’Ampezzo menjadi lokasi utama penganjuran Sukan Olimpik Musim Sejuk dengan upacara penutup dijadual berlangsung pada 22 Februari.