
MELBOURNE, 9 Januari – Nick Kyrgios mengesahkan tidak akan beraksi dalam acara perseorangan di Terbuka Australia tahun ini, sebaliknya hanya memberi tumpuan kepada acara beregu.
- Kyrgios sah hanya akan bertumpu pada acara beregu di Terbuka Australia, bukan perseorangan.
- Beliau tidak rasa bersedia untuk perlawanan lima set walaupun cergas selepas pulih kecederaan.
- Akan bergandingan dengan Thanasi Kokkinakis dan masih beraksi di Kooyong Classic secara perseorangan.
Bekas finalis Wimbledon 2022 itu baru kembali beraksi selepas bergelut dengan kecederaan selama tiga tahun, namun tewas 6-3, 6-4 kepada Aleksandar Kovacevic pada pusingan pertama Kejohanan Brisbane, Selasa lepas.
Walaupun berpeluang menerima wildcard ke Terbuka Australia yang bertaraf Grand Slam bermula 18 Januari, Kyrgios mengakui beliau belum bersedia untuk menghadapi perlawanan lima set.
“Selepas berbincang dengan Tenis Australia, saya membuat keputusan untuk fokus kepada beregu. Saya cergas, tetapi perlawanan lima set satu cabaran berbeza,” katanya di Instagram.
Pemain berusia 30 tahun itu kini berada di ranking ke-670 dunia dan akan bergandingan dengan Thanasi Kokkinakis dalam acara beregu, selain dijadual beraksi dalam acara perseorangan di Kooyong Classic minggu depan.