NSFC, DPMM FC kongsi mata di Paroi

Pemain Negeri Sembilan FC Kei Oshiro cuba mendapatkan bola dari pemain DPMM FC Jordan David (tengah) pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi./foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 April – Kelekaan benteng pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC) hampir membawa padah sebelum kebangkitan lewat permainan menyelamatkan maruah tuan rumah untuk mengikat DPMM FC 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Takumi Sasaki membuka jaringan pada minit ke-30 hasil hantaran tepat A. Selvan.
  • DPMM perkemas asakan babak kedua, Okechukwu Irobiso tanduk gol pada minit ke-49.
  • Jordan Murray hantaran tepat kepada Muhammad Hakeme Yazid Said, gol pada minit ke-60.
  • Joseph Esso tanduk masuk hantaran Kei Oshiro pada minit ke-73; NSFC keenam 23 mata, DPMM kelapan 22 mata.

Skuad Jang terlebih dahulu ceria membuka tirai jaringan menerusi penyudah kemas import Jepun, Takumi Sasaki pada minit ke-30, hasil hantaran tepat A. Selvan yang berjaya menewaskan pertahanan lawan.

Walau bagaimanapun, skrip perlawanan berubah pada babak kedua apabila pasukan pelawat mula memperkemas asakan.

Okechukwu Christian Irobiso menyentap kegembiraan penyokong tuan rumah menerusi tandukan padu pada minit ke-49 untuk kedudukan 1-1.

Tuan rumah sekali lagi dihukum akibat hilang fokus apabila hantaran tepat Jordan Murray mudah disempurnakan oleh Muhammad Hakeme Yazid Said pada minit ke-60, sekali gus meletakkan DPMM FC di hadapan.

Tersentak dengan gol tersebut, NSFC kembali memperkemas rentak dan usaha gigih mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Joseph Esso muncul wira dengan menanduk masuk hantaran Kei Oshiro pada minit ke-73 untuk menyamakan kedudukan.

Keputusan itu menyaksikan NSFC kekal di tangga keenam liga dengan kutipan 23 mata, manakala DPMM FC mengekori rapat di kedudukan kelapan dengan 22 mata. – BERNAMA