
NAKHON RATCHASIMA, 21 Januari– Nakhon Ratchasima kembali menjadi tumpuan selepas 18 tahun apabila Sukan Para ASEAN (APG) 2025 dirasmikan di Kompleks Sukan His Majesty the King’s 80th Birthday Anniversary 5 December 2007, malam tadi.
- Nakhon Ratchasima kembali menjadi tuan rumah APG selepas 18 tahun, acara dirasmikan di kompleks sukan utama malam ini.
- Perasmian menampilkan muzik, budaya Isan, teknologi laser dan pertunjukan bunga api mengikut tema One Symphony, Heartbeat ISANPOP.
- Perarakan kontinjen 10 negara termasuk Malaysia yang diketuai Mohd Zarrawi Ravi Abdullah; pemegang Jalur Gemilang ialah Nurzammiezatul Syafiqqah.
- APG 2025 berlangsung hingga 26 Januari dengan 19 sukan; tenpin boling di Bangkok dan Kemboja mengesahkan pengunduran.
Majlis perasmian diserikan dengan persembahan muzik dan budaya tempatan yang digabungkan bersama teknologi laser menerusi tema One Symphony, Heartbeat ISANPOP dan Rhythm of Heart, selain pertunjukan bunga api yang menghidupkan suasana.
Acara diteruskan dengan tayangan video atlet sebelum perarakan kontinjen membabitkan 10 negara peserta.
Perarakan dimulakan oleh tuan rumah diikuti maskot temasya serta kontinjen Brunei, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Timor-Leste dan Vietnam.
Kontinjen Malaysia diketuai Ketua Kontinjen (CDM) Mohd Zarrawi Ravi Abdullah manakala pemain badminton negara, Nurzammiezatul Syafiqqah Mohamad Zamberi (SH6 – kecacatan fizikal) diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang.
Presiden Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF), Mejar Jeneral Osoth Bhavilai berkata APG bukan sekadar medan pertandingan sebaliknya platform penting dalam memperkukuhparalimpik pembangunan sukan para dan kerjasama serantau.
Detik kemuncak menyaksikan perarakan obor sebelum wakil atlet menyalakan kawah api, menandakan bermulanya secara rasmi temasya dwitahunan itu.
APG 2025 berlangsung hingga 26 Januari ini dengan 19 jenis sukan dipertandingkan di sekitar Nakhon Ratchasima manakala acara tenpin boling diadakan di Bangkok.
Edisi kali ini menyaksikan Kemboja mengesahkan pengunduran menerusi kenyataan media pada 10 Januari lalu.