
MONTE CARLO, 10 April– Pemain nombor tiga dunia, Alexander Zverev, terpaksa bekerja keras sebelum berjaya menumbangkan pemain remaja Brazil, Joao Fonseca, dalam aksi tiga set sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir Masters Monte Carlo buat kali ketiga, hari ini.
- Zverev menang 7-5, 6-7 (3/7), 6-3 dan akan berdepan Jannik Sinner atau Felix Auger-Aliassime.
- Kemenangan membuka peluang Zverev melengkapkan koleksi gelaran Masters 1000 di tanah liat selepas menjuarai Terbuka Itali dan Madrid.
- Fonseca, 19, bermain dalam suku akhir Masters pertamanya dan mempamerkan kualiti tinggi sehingga memaksa tiga set.
- Pengalaman Zverev menentukan set penentu; beliau mematahkan servis pada permainan keenam dan menamatkan saingan dengan yakin.
Zverev mencatatkan kemenangan 7-5, 6-7 (3/7), 6-3 dalam pertarungan sengit tersebut dan bakal berdepan sama ada Jannik Sinner atau Felix Auger-Aliassime untuk merebut slot ke perlawanan akhir.
Kemenangan itu juga menghidupkan peluang bintang Jerman itu untuk melengkapkan koleksi gelaran Masters 1000 di gelanggang tanah liat selepas pernah menjuarai Terbuka Itali dan Terbuka Madrid sebelum ini.
Walaupun baru berusia 19 tahun dan beraksi dalam suku akhir Masters pertamanya, Fonseca mempamerkan kualiti permainan yang tinggi sehingga memaksa Zverev bertarung selama tiga set.
Zverev memenangi set pertama selepas mematahkan servis lawan pada permainan ke-11, namun Fonseca bangkit pada set kedua dengan memenangi empat permainan berturut-turut untuk mengheret perlawanan ke penentuan tie-break.
Kehebatan pukulan dari garisan belakang oleh pemain nombor 40 dunia itu membolehkannya memenangi set kedua, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan di set ketiga.
Bagaimanapun, pengalaman memihak kepada Zverev yang berusia 28 tahun apabila beliau memperkemas rentak permainannya pada set penentu.
Beliau berjaya mematahkan servis Fonseca pada permainan keenam sebelum menamatkan saingan dengan penuh yakin untuk mara ke separuh akhir Masters 1000 buat kali ketiga berturut-turut tahun ini.
Sementara itu, tumpuan peminat tenis di Monte Carlo selepas ini bakal terarah kepada aksi juara bertahan, Carlos Alcaraz menentang Alexander Bublik, serta pertemuan antara Alex de Minaur dan Valentin Vacherot. -AFP