
PUTRAJAYA, 11 Febuari – Jaguh angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan menerima suntikan semangat menjelang Sukan Komanwel 2026 serta misi kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 apabila dinobatkan Olahragawan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) bagi dua tahun berturut-turut, 2023 dan 2024, hari ini.
- Mohamad Aniq Kasdan dinobatkan Olahragawan MASUM 2023 dan 2024 berturut-turut, memberi motivasi untuk Sukan Komanwel 2026 dan Olimpik 2028.
- Aniq menghargai sokongan jurulatih, MSN, PABM dan UiTM sebagai faktor kejayaan dan peningkatan prestasi.
- Beliau menerima piala pusingan, trofi, blazer dan hadiah wang tunai RM3,000 setiap anugerah.
- Majlis turut mengiktiraf Olahragawati 2023 dan 2024 serta pemenang kategori Bintang Harapan lelaki dan wanita.
Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu menyifatkan pengiktirafan berkenaan sebagai pemangkin untuk meningkatkan prestasi dan mengekalkan momentum latihan dalam menghadapi jadual pertandingan yang semakin mencabar.
“Saya sangat gembira kerana ini hasil usaha saya bersama jurulatih, MSN, PABM dan UiTM yang banyak membantu.
“Anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk saya terus melangkah dan memburu kelayakan ke Olimpik serta menghadapi Sukan Komanwel,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah MASUM di Putrajaya.
Aniq membawa pulang piala pusingan, trofi, blazer serta hadiah wang tunai RM3,000 bagi setiap anugerah yang dimenanginya selepas menewaskan beberapa calon lain.
Dalam majlis sama, Aleena Ahmad Nawawi dari UiTM dinobatkan Olahragawati 2023, manakala atlet berbasikal trek Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dari Universiti Malaya (UM) muncul Olahragawati 2024, dengan kedua-duanya turut menerima piala pusingan, trofi, blazer dan hadiah wang tunai RM3,000.
Bagi kategori Bintang Harapan 2023, atlet judo Universiti Sains Malaysia (USM) Amir Daniel Abdul Majeed muncul pemenang lelaki, manakala pemain skuasy UM Aira Azman memenangi kategori wanita.
Kategori Bintang Harapan 2024 pula menyaksikan atlet woodball UiTM Amsyar Sirhan Saifullah Saharruddin dan pelumba berbasikal trek UiTM Anis Amira Rosdi masing-masing muncul pemenang lelaki dan wanita.
Terdahulu Anugerah berkenaan disampaikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman dan Pengerusi MASUM, Datuk Prof. Madya Dr. Mohd Hafiz Yusoff, selain beberapa lagi kategori termasuk Pengurus Pasukan Terbaik, Pasukan Terbaik, Jurulatih Terbaik dan Tokoh Sukan.