
KUALA LUMPUR, 8 September – Kontinjen Malaysia menetapkan sasaran sebanyak 33 pingat keseluruhan pada temasya Sukan Asia ke-20 yang dijadualkan berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun 2026.
- Sasaran pingat terdiri daripada enam emas, tujuh perak dan 20 gangsa.
- 13 sukan prospek, antaranya berbasikal trek, badminton, memanah, terjun, skuasy, sepak takraw, hoki, olahraga, pelayaran, karate, wushu, e-sukan, menembak.
- Ketua Kontinjen Datuk Sumali Reduan anggap sasaran realistik berdasarkan prestasi semasa dan menjadi motivasi kepada kontinjen.
- Malaysia menghantar 352 atlet dan 185 pegawai, menyertai 30 daripada 43 sukan; 110 atlet di bawah 21 tahun.
Sasaran tersebut merangkumi enam pingat emas, tujuh perak dan 20 gangsa menerusi 13 jenis sukan prospek.
Sukan yang menjadi sandaran pingat termasuk berbasikal trek, badminton, memanah, terjun, skuasy, sepak takraw, hoki, olahraga, pelayaran, karate, wushu, e-sukan dan menembak.
Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan Asia 2026, Datuk Sumali Reduan menyifatkan sasaran itu sebagai realistik berdasarkan prestasi semasa dan rekod pencapaian terkini atlet negara.
“Kita menyedari persaingan di peringkat Asia amat tinggi kerana ia merupakan temasya yang besar. Bagaimanapun, sasaran ini ditetapkan berdasarkan prestasi semasa, rekod pencapaian atlet serta potensi pingat dalam setiap jenis sukan.
“Paling penting, kita mahu setiap atlet memberikan prestasi terbaik dan berjuang sehingga ke saat akhir. Sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi menjadi panduan dan motivasi kepada seluruh kontinjen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Sukan Asia 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.
Untuk temasya kali ini, Malaysia akan diwakili 352 atlet dan 185 pegawai yang akan menyertai 30 daripada 43 jenis sukan dipertandingkan.
Daripada jumlah atlet itu, 110 merupakan atlet muda berusia bawah 21 tahun, manakala 202 atlet lelaki dan 150 atlet wanita.
Sementara itu, kontinjen negara ke Sukan Para Asia ke-5 turut menetapkan sasaran 34 pingat keseluruhan, terdiri daripada enam emas, 10 perak dan 18 gangsa.
Kontinjen Para Malaysia akan dibarisi 115 orang, melibatkan 73 atlet dan 42 pegawai.
Antara sukan yang menjadi prospek pingat ialah boccia, para badminton, para olahraga, para renang, para berbasikal, para pingpong, tenis kerusi roda, para powerlifting dan menembak.
Sukan Asia 2026 akan membuka tirai pada 19 September, manakala Sukan Para Asia dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 24 Oktober 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.