
KUALA LUMPUR, 8 September – Juara dunia wushu, Tan Cheong Min melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang bagi kontinjen negara ke Sukan Asia Aichi-Nagoya yang dijadualkan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.
- Skuad wushu menjalani latihan intensif dua fasa di China; kini berada pada tahap kesiapsiagaan optimum.
- Sebagai atlet senior, beliau fokus berjuang demi podium; pingat emas akan menjadi bonus amat bermakna.
- Pemegang beberapa gelaran juara dunia, kehadirannya dijangka menyuntik semangat kontinjen Malaysia.
Pemilihan atlet berusia 28 tahun itu merupakan satu pengiktirafan terhadap sumbangan dan kecemerlangannya dalam arena wushu di peringkat antarabangsa.
Cheong Min menzahirkan rasa syukur dan menyifatkan tugasan itu sebagai satu amanah besar, lebih-lebih lagi Malaysia mempunyai ramai atlet bertaraf dunia yang turut layak memikul tanggungjawab berkenaan.
“Saya amat berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) atas kepercayaan ini. Ini adalah kali pertama saya diberi peranan sebagai pembawa bendera dan ia merupakan satu penghormatan yang luar biasa buat saya.
“Tugasan ini pastinya menjadi suntikan motivasi tambahan untuk saya mempamerkan aksi terbaik di Jepun nanti. Fokus utama saya adalah untuk berjuang demi kedudukan di podium,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Sukan Asia 2026 di MSN, Bukit Jalil.
Pada edisi 2023, Cheong Min merangkul pingat perak dalam acara nanquan-nandao wanita.
Mengulas persiapan pasukan, beliau berkata skuad wushu negara kini berada pada tahap kesiapsiagaan optimum hasil sokongan padu MSN dan Persekutuan Wushu Malaysia.
“Kami telah menjalani latihan intensif di China melalui dua fasa. Saya percaya bukan saya sahaja, malah seluruh pasukan sudah bersedia sepenuhnya untuk menggalas cabaran di Aichi-Nagoya.
“Sebagai atlet senior, sasaran saya adalah untuk sekali lagi menjejakkan kaki ke podium. Jika berjaya meraih pingat emas, ia akan menjadi bonus yang amat bermakna buat semua,” katanya.
Untuk rekod, Cheong Min merupakan pemegang beberapa gelaran juara dunia dan kehadirannya sebagai pembawa Jalur Gemilang dijangka mampu menyuntik semangat kepada seluruh kontinjen Malaysia untuk memburu kejayaan di bumi Jepun.