Liga Europa: Freiburg tekad lakar kejutan

Ketua jurulatih Freiburg, Julian Schuster (kiri) dan pengurus Aston Villa, Unai Emery /AFP

ISTANBUL, 19 Mei -Selepas dikecewakan pada pentas akhir Piala Jerman empat tahun lepas, Freiburg bersiap sedia membuktikan bahawa kesetiaan pengurusan dan kejayaan sistem akar umbi bakat tempatan mampu membuahkan hasil apabila dijadualkan menentang Aston Villa dalam aksi penentu kejuaraan Liga Europa, pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemenangan memberi trofi pertama kelab dan menjamin slot automatik ke Liga Juara Eropah buat kali pertama.
  • Kejayaan terhasil daripada model pembangunan bakat tempatan dan kesetiaan pengurusan meskipun bajet kecil.
  • Kapten Christian Guenter tegas; skuad tidak hadir sekadar pelengkap, moto mereka: Tiada gunanya jika kami kalah.
  • Pengurus Julian Schuster kekalkan falsafah kelab, bina pasukan berteraskan pemain akademi termasuk Ginter, Guenter, Hoefler dan Manzambi.

Kemenangan di Stadium Besiktas itu bukan sahaja bakal menghadiahkan trofi pertama buat kelab yang terkenal dengan jolokan The Black Forest itu, malah turut menjamin slot automatik ke saingan Liga Juara Eropah (UCL) musim depan buat kali pertama dalam sejarah penubuhan kelab berkenaan.

Meskipun turun selaku pasukan bukan pilihan, kelab bimbingan pengurus Julian Schuster itu kini sedang menikmati tempoh paling berjaya hasil daripada kejayaan model pembangunan bakat tempatan yang konsisten dan kesetiaan pengurusan tertinggi, di sebalik bajet kerdil serta kekangan pelaburan asing dalam bola sepak Jerman.

Kapten pasukan, Christian Guenter, yang mendedikasikan keseluruhan karier profesionalnya bersama Freiburg menegaskan bahawa skuadnya tidak hadir ke Istanbul sekadar untuk menjadi pelengkap jadual perlawanan akhir.

“Tiada gunanya jika kami kalah; itu adalah moto yang perlu kami bawa ke sana. Harapnya kami dapat menjulang piala itu nanti.

“Selama bertahun-tahun orang sering berkata kepada saya, ‘berhijrahlah ke kelab yang lebih besar jika mahu memenangi trofi atau beraksi di pentas Eropah’.

“Hari ini, kami berjaya membuktikan sebaliknya menerusi kerja keras kolektif dan keputusan tepat yang dibuat oleh pengurusan tertinggi kelab,” katanya.

Kejayaan Freiburg melangkah ke perlwanan akhir turut membawa naratif emosi yang tersendiri apabila pemain tengah veteran berusia 36 tahun, Nicolas Hoefler, bakal menamatkan karier bola sepaknya pada musim panas ini selepas dua dekad setia menabur bakti bersama kelab berkenaan.

Schuster, yang mengambil alih kerusi kejurulatihan daripada pengendali legenda Christian Streich pada 2024, berjaya mengekalkan falsafah kelab dengan membina kekuatan berpasukan berteraskan pemain akademi seperti pemain pertahanan kebangsaan Jerman, Matthias Ginter, Guenter, Hoefler, dan bintang muda yang sedang meningkat naik, Johan Manzambi.

“Di atas kertas, kami mungkin tidak memiliki barisan pemain bintang yang besar, namun kami berfungsi dengan sempurna sebagai sebuah pasukan,” kata Ginter, yang juga merupakan pemenang Piala Dunia 2014 bersama Jerman.

Aksi akhir berkenaan merupakan kali kedua Freiburg dijadualkan menentang wakil dari England selepas tewas agregat 5-1 kepada West Ham United pada pusingan 16 terakhir Liga Europa musim 2023-24. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.