Bertemu Bilbao jadi medan perpisahan Dani Carvajal

Ketua pasukan Real Madrid, Dani Carvajal / REUTERS

MADRID, 19 Mei – Stadium Santiago Bernabeu bersiap sedia untuk majlis perpisahan penuh emosi buat Dani Carvajal pada Sabtu ini, selepas kapten Real Madrid itu memutuskan untuk menamatkan karier penuh prestijnya bersama juara Eropah 15 kali itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Carvajal dan Real Madrid mencapai persetujuan untuk tidak melanjutkan kontrak; menamatkan ikatan gemilang selama 23 tahun bersama kelab.
  • Florentino Perez menyifatkan Carvajal sebagai legenda mutlak dan simbol kejayaan akademi kelab.
  • Sepanjang 13 musim, 450 penampilan, 27 trofi termasuk enam kejuaraan UCL; Pemain Terbaik Perlawanan Akhir UCL 2024.

Majlis penghormatan khas buat pemain pertahanan kanan berusia 34 tahun itu akan diadakan bersempena aksi terakhir saingan La Liga menentang Athletic Bilbao, sekali gus menamatkan ikatan gemilang selama 23 tahun beliau bersama kelab gergasi Sepanyol berkenaan.

Real Madrid dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin mengesahkan bahawa kedua-dua belah pihak telah mencapai persetujuan bersama untuk tidak melanjutkan kontrak pemain berkenaan pada penghujung musim ini.

Mengulas mengenai pengunduran itu, Presiden Real Madrid, Florentino Perez, menyifatkan Carvajal sebagai seorang legenda mutlak dan simbol kepada kejayaan sistem pembangunan akademi kelab.

“Dani (Carvajal) adalah simbol kejayaan akademi dan legenda mutlak kelab ini.

“Santiago Bernabeu akan sentiasa menjadi rumah beliau,” katanya.

Sepanjang 13 musim menyarung jersi skuad utama, Carvajal telah meledak 14 gol daripada 450 penampilan serta membantu kelab meraih 27 trofi, termasuk muncul antara lima pemain dalam sejarah bola sepak dunia yang berjaya menjulang enam kejuaraan Liga Juara Eropah (UCL).

Puncak kegemilangan beliau adalah pada tahun 2024 apabila dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir UCL selepas menjaringkan gol penting bagi membantu Real Madrid melebarkan rekod kejuaraan Eropah ke-15.

Bagaimanapun, prestasi Carvajal dalam beberapa musim kebelakangan ini dilaporkan sedikit merosot selepas beliau bergelut untuk mendapatkan semula rentak permainan akibat kecederaan lutut yang dialaminya ketika menentang Villarreal pada penghujung 2024.

Pemain yang memulakan karier di akademi Real Madrid seawal usia 10 tahun itu juga memiliki rekod antarabangsa yang cemerlang bersama skuad kebangsaan Sepanyol dengan meraih 51 kaps, selain berjaya menjulang kejuaraan Euro 2024 dan Liga Negara Eropah 2023. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.