
KUALA LUMPUR, 19 Mei – Pasangan beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini, hari ini.
- Kejayaan mencatat sejarah ASN sebagai kali pertama pasangan beregu campuran memenangi dua anugerah individu utama serentak.
- Pemenang mengucapkan terima kasih kepada keluarga, jurulatih, pasukan, media dan negara serta mendedikasikan trofi kepada rakyat Malaysia.
- ASN 2025 juga menghormati kejayaan paralimpik dan sepak takraw, dengan pemenang menerima trofi, piala pusingan dan hadiah wang tunai RM20,000.
Kejayaan itu mencatatkan sejarah baharu dalam penganjuran ASN sejak 1966, memandangkan ia merupakan kali pertama atlet beregu campuran memenangi dua anugerah individu utama serentak.
Penyampaian anugerah tersebut disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ee Wei menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai kejayaan buat semua yang sentiasa menyokong karier mereka.
“Syukur, ini bukan kejayaan saya dan Tang Jie sahaja. Ini adalah untuk keluarga, rakan sepasukan, jurulatih, dan media yang sentiasa menyokong.
” Terima kasih juga kepada negara yang sentiasa ada di belakang kami tidak kira menang atau kalah,” katanya pada sidang media Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2025 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.
Bagi Chen Tang Jie pula, anugerah ini menjadi batu loncatan buat mereka untuk terus memburu kecemerlangan.
“Tanpa pelaburan dan sokongan Malaysia terhadap kami, kami tidak akan berada di sini hari ini.
“Trofi ini adalah untuk rakyat Malaysia. Kami sangat gembira, tetapi kini fokus adalah kepada masa depan dan memberikan yang terbaik,” katanya.
Pada majlis sama, jaguh para berbasikal Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin dan atlet para renang Lim Carmen, masing-masing meraih gelaran Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.
Mohammad Yusof menyifatkan kemenangan tersebut tidak dijangka dan mendedikasikan kemenangan itu kepada kedua orang tuanya.
“Anugerah ini adalah simbol kepada segala penat lelah dan kerja keras saya sepanjang sedekad lalu.
“Gelaran Olahragawan ini sememangnya satu impian yang telah lama saya idamkan, dan ia amat bermakna kerana akhirnya saya dapat menghadiahkan kejayaan ini buat kedua ibu bapa saya.” katanya ketika ditemui media.
Sementara itu Sukan sepak takraw turut membawa pulang tiga anugerah utama termasuk Pasukan Lelaki Kebangsaan, Jurulatih Lelaki Kebangsaan menerusi Ahmad Jais Baharun, serta Anugerah Kepimpinan Sukan yang dimenangi Datuk Mohd Sumali Reduan.
Pemenang anugerah utama membawa pulang piala pusingan, trofi, dan hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.
Turut hadir bersama ialah Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari dan timbalannya Mordi Bimol, Presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Ketua Pengarah MSN Jefri Ngadirin.
Senarai penuh pemenang ASN 2025
Olahragawan Kebangsaan: Chen Tang Jie (Badminton)
Olahragawati Kebangsaan: Toh Ee Wei (Badminton)
Olahragawan Paralimpik Kebangsaan: Mohammad Yusof Hafizi Shaharuddin (Para Berbasikal)
Olahragawati Paralimpik Kebangsaan: Lim Carmen (Para Renang)
Pasukan Lelaki Kebangsaan: Pasukan Sepak Takraw Negara
Pasukan Wanita Kebangsaan: Pasukan Wushu (Duilian) – Tan Cheong Min, Pang Pui Yee, Lee Jia Rong
Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Ahmad Jais Baharun (Sepak Takraw)
Jurulatih Wanita Kebangsaan: Nor Hamizah Abu Hassan (Pencak Silat)
Anugerah Kepimpinan Sukan: Datuk Mohd Sumali Reduan (Sepak Takraw)
Anugerah Khas:
1. Allahyarham Datuk Hishamuddin Aun
2. Kelab Renang Ikan Bilis
3. Petronas