
KAJANG, 19 Ogos – Kecederaan di bahagian pinggang yang dialami dua hari sebelum bermulanya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 tidak menghalang Ahmad Ridzuan Shah Roslan, menghadiahkan pingat emas buat Terengganu dalam acara lelaki bawah 88 kilogram (kg).
- Ahmad Ridzuan muncul juara dengan jumlah angkatan keseluruhan 280kg, mengatasi wakil Sabah dan Johor.
- Kecederaan menjejaskan prestasi; terpaksa kurangkan beban dan rasa sakit pada angkatan pertama tetapi terus lawan pada angkatan kedua.
- Kejayaan sulung SUKMA diraih hasil sokongan padu jurulatih, keluarga dan rakan-rakan yang datang dari Terengganu.
Atlet angkat berat berusia 19 tahun itu muncul juara selepas mengumpul angkatan keseluruhan 280kg, mengatasi atlet Sabah, Herry Stephene Gampion yang merekodkan 275kg, manakala wakil Johor, Syafiq Afeed Sawal Rudin meraih gangsa dengan angkatan 263kg.
Ahmad Ridzuan mengakui kecederaan berkenaan menjejaskan prestasinya apabila terpaksa mengurangkan beban angkatan berbanding rekod peribadinya sebelum ini.
“Walaupun menahan sakit sejak dari awal, saya tetap cuba memberikan yang terbaik. Rekod peribadi saya sebenarnya jauh lebih baik berbanding catatan hari ini, iaitu 135kg bagi acara ‘snatch’ dan 135kg bagi ‘clean and jerk’.
Tadi memang terasa sakit ketika melakukan angkatan pertama. Namun, pada angkatan kedua, saya tetap lawan dan cuba memberikan yang terbaik demi Terengganu,” katanya ketika ditemui media selepas upacara penyampaian hadiah.
Ridzuan, yang pertama kali menyertai temasya SUKMA, menyifatkan kejayaan itu hasil sokongan padu jurulatih, selain kehadiran ahli keluarga dan rakan-rakan yang datang dari Terengganu untuk memberikan sokongan.
Pertandingan angkat berat yang berlangsung di Dewan Seri Cempaka, Kajang, akan diteruskan sehingga 20 Ogos, dengan tiga lagi kategori bakal dipertandingkan iaitu wanita bawah 86kg, lelaki bawah 110kg dan lelaki atas 110kg.