
KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat Jumaat ini diawalkan kepada pukul 3.30 petang.
- Solat Jumaat akan diadakan di Dewan Bankuet Parlimen bagi kemudahan ahli-ahli yang beragama Islam.
- Dewan Rakyat menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir atas pemergian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah.
- Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertua.
- Yang di-Pertua telah memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan kerusi Ahli Parlimen Petaling Jaya.
Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor berkata surat pemakluman mengenai perubahan waktu itu telah diedarkan kepada ahli parlimen.
“Sehubungan itu, bagi kemudahan ahli-ahli yang berhormat yang beragama Islam, solat Jumaat akan diadakan di dalam Dewan Bankuet Parlimen Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pembukaan Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Kelima Parlimen ke-15
Pada akhir pemasyhuran, Dewan Rakyat menzahirkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada 28 September lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul telah menerima surat peletakan jawatan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung pada 2 Oktober lepas.
“Ahli-ahli yang berhormat, seperti semua sedia maklum, ahli yang berhormat bagi kawasan Petaling Jaya telah menghantar surat untuk melepaskan keahlian beliau sebagai ahli Dewan Rakyat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 2 Oktober 2026.
“Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan kerusi Ahli Parlimen yang berkenaan,” katanya.