
BANGI, 19 Ogos – Muhammad Raqib Darwisy Mohd Syahrizan menamatkan penantian selama 5 tahun untuk beraksi di temasya SUKMA ke-22 apabila berjaya raih emas menerusi acara Tanding Putera Kelas D 60 hingga 65 kilogram.
- Persiapan memeritkan; beliau menurunkan 16 kilogram dalam empat bulan untuk memastikan kelayakan.
- Lawan di perlawanan akhir dianggap memberikan persaingan paling sengit sepanjang kejohanan.
- Beliau akan memperlahankan penglibatan kejohanan sementara bagi memberi tumpuan kepada SPM November ini.
Kemenangan itu disifatkan sebagai detik cukup menggembirakan selepas melalui persiapan yang mencabar bagi memastikan sasaran emas dapat direalisasikan.
“Persiapan memang tidak mudah. Saya menurunkan berat badan empat bulan sebelum SUKMA. Saya berjaya menurunkan 16 kilogram untuk menyertai SUKMA Malaysia pada tahun ini,” katanya selepas perlawanan kategori D menentang Ahmad Darwisy Ahmad Zulzaidi di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Beliau turut menyifatkan lawan pada aksi final itu sebagai atlet yang memberikan persaingan paling sengit sepanjang saingan SUKMA kali ini.
“Bagi saya, atlet yang saya lawan di final tadi memberikan persaingan paling sengit sepanjang temasya SUKMA 2024 ini,” katanya.
Mengulas perancangan selepas SUKMA, Muhammad Raqib berkata beliau akan memperlahankan penglibatan dalam kejohanan lain buat sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini.
Kejayaan beliau menyumbangkan satu lagi pingat emas buat Melaka, sekali gus membantu skuad berkenaan mengumpul empat pingat emas menerusi acara berkenaan.
Melaka mendominasi acara Pencak Silat dengan kemenangan keseluruhan kategori Putera dan Puteri dengan kutipan empat emas, tiga perak dan satu gangsa.