
BANGI, 19 Ogos – Kontinjen pencak silat Melaka berjaya melepasi sasaran tiga pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, sekali gus muncul juara keseluruhan Pencak Silat dengan memperoleh empat emas, tiga perak dan satu gangsa.
- Persiapan rapi aspek fizikal dan mental selama kira-kira satu tahun menyumbang kepada kejayaan pasukan.
- Ketua jurulatih Mohd Syahrizan menegaskan Melaka tidak menyasarkan dominasi tetapi mahu berikan saingan hebat.
- Latihan dan persiapan akan ditambah baik untuk memastikan prestasi atlet terus dipertingkatkan.
- Mohd Syahrizan optimis pendekatan yang dilaksanakan akan diteruskan dan diperkemaskan pada masa hadapan.
Ketua Jurulatih Pencak Silat Kontinjen Melaka, Mohd Syahrizan Che Omar berkata, ia hasil persiapan rapi membabitkan aspek fizikal dan mental atlet, yang dimulakan kira-kira satu tahun lalu, membuahkan hasil pada edisi kali ini.
“Untuk pasukan silat Negeri Melaka pada tahun ini, alhamdulillah kita melebihi sasaran yang dijangkakan. Dalam persiapan yang kami lakukan selama lebih kurang satu tahun dua bulan, segala aspek termasuk persiapan mental dan fizikal telah diberikan perhatian dan alhamdulillah, ia membuahkan hasil pada edisi kali ini,” katanya selepas sesi penyampaian pingat kepada atlet Pencak Silat SUKMA Selangor ke-22.
Bagi edisi SUKMA kali ini, beliau menegaskan, Melaka tidak menyasarkan untuk mendominasi kejohanan, sebaliknya mahu memberikan saingan hebat dan mencipta sesuatu yang luar biasa pada SUKMA kali ini.
“Untuk menjangkakan kita mendominasi kejohanan ini, saya tidak menjangkakannya. Tetapi apa yang kita rasakan, Melaka akan memberikan saingan yang hebat dan juga mencipta sesuatu yang luar biasa pada edisi kali ini,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi edisi akan datang pula, beliau berkata tempoh latihan dan persiapan pasukan akan ditambah baik bagi memastikan prestasi atlet terus dipertingkatkan.
Mohd Syahrizan turut optimis segala pendekatan yang dilaksanakan pada edisi kali ini akan diteruskan dan diperkemaskan pada masa akan datang.