
COLOMBO, 5 Oktober – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memaklumkan telah mencapai persetujuan awal dengan Sri Lanka bagi membolehkan negara itu menerima dana pembiayaan kira-kira AS$345 juta daripada pakej bantuan berjumlah AS$2.9 bilion.
- IMF amaran: harga tenaga, El Nino dan konflik Timur Tengah boleh menjejaskan pemulihan ekonomi Sri Lanka.
- Ekonomi Sri Lanka tunjukkan ketahanan dengan 11 suku pertumbuhan berturut-turut selepas penguncupan pada 2022.
- IMF kritik pengembalian subsidi diesel, gesa penyesuaian harga bahan api mengikut pasaran antarabangsa dan perlindungan untuk isi rumah terjejas.
- Bank pusat menaikkan kadar faedah 100 mata asas ke 8.75% tetapi menolak kenaikan lanjut kerana risau menjejaskan pertumbuhan.
Menerusi kenyataan, IMF bagaimanapun memberi amaran kenaikan harga tenaga, fenomena cuaca El Nino serta konflik di Timur Tengah berupaya menjejaskan pemulihan ekonomi Sri Lanka.
“Ekonomi Sri Lanka amat berdaya tahan dengan berjaya mengekalkan pertumbuhan ekonomi selama 11 suku berturut-turut selepas menguncup 7.3 peratus pada 2022,”katanya.
Persetujuan itu juga merupakan perkembangan terbaharu dalam usaha Sri Lanka memulihkan ekonomi selepas negara berkenaan mengalami krisis ekonomi terburuk dengan kegagalan membayar hutang luar negara berjumlah AS$46 bilion pada 2022.
Namun, pada 2023, Sri Lanka memperoleh pakej bantuan IMF bernilai AS$2.9 bilion untuk tempoh empat tahun.
IMF dalam masa sama, turut mengkritik keputusan kerajaan, awal bulan ini untuk mengembalikan subsidi diesel bernilai AS$126 juta, sambil menegaskan harga bahan api perlu terus diselaraskan mengikut perkembangan pasaran antarabangsa, di samping melindungi isi rumah yang terjejas.
Bank pusat, jelas IMF perlu bersedia mengetatkan dasar monetari, sekiranya kenaikan harga tenaga mencetuskan gelombang kedua inflasi.
Bank pusat Sri Lanka baru-baru ini menaikkan kadar faedah sebanyak 100 mata asas kepada 8.75 peratus, namun menolak saranan untuk menaikkannya lagi dengan alasan langkah itu boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi. – AFP