
LANGKAWI, 18 Mei– Ikon bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, dan legenda Kedah, Radhi Mat Din, antara nama besar yang bakal menghangatkan perlawanan persahabatan Langkawi Merdeka Cup Nostalgia 1993 di Stadium LADA Langkawi pada 29 Ogos depan.
- Perlawanan nostalgia menghidupkan semula final Piala Malaysia 1993 yang menyaksikan Kedah menang 2-0 ke atas Singapura.
- Anjuran DZR Event and Management bersama PBMK bertujuan menyemarakkan kecintaan generasi muda terhadap bola sepak.
- Barisan legenda termasuk Malek Awab, Abbas Saad, Alistair Edwards dan bintang Kedah seperti Lim Teong Kim turut menjayakan perlawanan.
- Penaung PBMK berharap perlawanan kembalikan aura kegemilangan serta mengeratkan semula hubungan Kedah dan Singapura.
Pertemuan penuh nostalgia bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 itu akan menghidupkan semula memori pertembungan epik perlawanan akhir Piala Malaysia 1993, yang menyaksikan skuad Jelapang Padi muncul juara menerusi kemenangan 2-0 ke atas skuad Kota Singa.
Perlawanan anjuran DZR Event and Management dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBMK) itu bukan sahaja menjadi pentas mengumpulkan semula permata bola sepak kedua-dua pasukan, malah bertujuan menyemarakkan lagi rasa kecintaan terhadap sukan nombor satu negara itu dalam kalangan generasi muda.
Penaung PBMK, Datuk Zuraidi Rahim berkata, kehadiran barisan pemain lagenda ini dijangka mampu mengembalikan semula aura dan kehebatan zaman kegemilangan bola sepak Kedah serta Singapura yang pernah mencetuskan fenomena suatu ketika dahulu.
“Saya berharap rakan-rakan di seluruh negara akan memberi komitmen dan sokongan sepenuhnya untuk kita menjayakan perlawanan persahabatan secara santai ini. Elemen ini sangat menarik bukan sahaja untuk mengimbau memori lama, malah bagi memastikan hubungan akrab di antara Kedah dan Singapura kembali bertaut semula,” katanya.
Selain Fandi Ahmad, skuad Singapura turut diperkuatkan oleh nama-nama besar lain seperti Malek Awab, Abbas Saad, dan Alistair Edwards.
Sementara itu, pasukan tuan rumah, Kedah, bakal membariskan barisan bintang handalan antaranya Olubunmi Adigun, Tibor Szaban, Faridzuan Che Hamid, Feriza Ismail, Lim Teong Kim, dan penjaga gol, Azmi Mahmud.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Fandi Ahmad mengakui amat teruja dengan jemputan tersebut memandangkan ia merupakan kunjungan sulungnya ke pulau legenda berkenaan.
“Memang kami sangat gembira dapat tawaran bermain ini. Saya sendiri tidak pernah pergi ke Langkawi, jadi kali ini kami akan membawa rombongan yang besar ke sana. Insya-Allah, mudah-mudahan kita akan bertemu semula dengan bekas-bekas pemain pasukan Kedah yang sudah 33 tahun kita tidak jumpa,”ujarnya.
Dalam pada itu, bekas tonggak Hijau Kuning, Faridzuan Che Hamid, menggesa seluruh peminat bola sepak di utara tanah air dan seluruh Malaysia untuk tidak melepaskan peluang keemasan menyaksikan perlawanan persahabatan berkenaan.
“Inilah julung-julung kalinya perlawanan seumpama ini diadakan di Langkawi sempena memperingati 33 tahun kejohanan Piala Malaysia 1993 antara Singapura dan Kedah. Saya harap semua penonton dapat hadir memeriahkan stadium kerana inilah peluang terbaik untuk kita bersama-sama dengan ‘legend’ kedua-dua pasukan,” jelasnya.