Langkah bergaya Aaron–Wooi Yik di Terbuka Malaysia

Pemain beregu lelaki negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menentang beregu lelaki USA Chen Zhi Yi dan Presley Smith pada kejohanan Badminton Terbuka Malaysia Petronas 2026 di Stadium Axiata Arena di sini, hari ini / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Januari – Beregu lelaki negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, menyempurnakan kemenangan kelima buat Malaysia pada kejohanan Terbuka Malaysia hari ini selepas melangkah ke pusingan kedua dengan bergaya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aaron–Wooi Yik mara ke pusingan kedua Terbuka Malaysia dengan kemenangan straight set 21-11, 21-19 dalam 35 minit.
  • Mereka kekal unggul 2-0 terhadap pasangan Amerika Chen Zhi Yi–Presley Smith.
  • Aaron akui ada beberapa kesilapan mudah tetapi berjaya kembali kawal permainan untuk menamatkan perlawanan.
  • Wooi Yik bimbang pertemuan sukar seterusnya, sama ada lawan dari China atau Taiwan.
  • Perubahan arah angin antara gelanggang perlawanan dan latihan menjejaskan adaptasi permainan mereka.

Pasangan ranking kedua dunia itu menewaskan wakil Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi–Presley Smith, secara straight set 21-11, 21-19 dalam tempoh 35 minit pada perlawanan pusingan pertama yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Kemenangan tersebut turut meneruskan rekod cemerlang Aaron–Wooi Yik dengan kelebihan 2-0 ke atas pasangan berkenaan.

Menurut Aaron, meskipun terdapat beberapa kesilapan mudah dalam set kedua, mereka berjaya mengawal semula permainan bagi memastikan kemenangan.

“Permulaan perlawanan hari ini agak baik untuk kami. Cuma dalam set kedua ada sedikit kesilapan mudah, namun kami berjaya bangkit dan menamatkan perlawanan dengan kemenangan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Mengulas cabaran seterusnya, Wooi Yik menjangkakan pertemuan sukar sama ada menentang wakil China atau Taiwan pada pusingan kedua.

“Kedua-duanya bukan lawan yang mudah. Ini permulaan dan tahun baharu, jadi kami perlu cepat menyesuaikan diri. Kami akan berbincang dengan jurulatih mengenai perkara yang boleh diperbaiki kerana keadaan gelanggang di sini berbeza,” katanya.

Sementara itu, Wooi Yik berkata faktor angin menjadi antara cabaran yang dihadapi mereka, khususnya pada set kedua.

“Terdapat perbezaan keadaan angin antara gelanggang perlawanan dan gelanggang latihan. Apabila bertukar sisi, arah angin juga berbeza, jadi kami masih cuba menyesuaikan diri secepat mungkin,” katanya.

Esok, Aaron–Wooi Yik dijadual berdepan sama ada wakil China, Chen Xu Jun–Liu Yang, atau pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng–Yang Po Han, bagi merebut tiket ke suku akhir.

Dalam pada itu, satu lagi beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King turut memastikan tempat di pusingan kedua selepas menewaskan gandingan kombinasi Korea Selatan dan Malaysia Choi Sol Gyu-Goh V Shem 22-20, 21-12.

“Alhamdulillah, kami berjaya menebus kekalahan kepada lawan sama dalam pertemuan terakhir di Australia yang menyaksikan kami tewas straight set.

“Kami sedang mendahului ketika itu tetapi hilang fokus. Hari ini kemenangan berpihak kepada kami. Melunaskan dendam dan mara ke pusingan kedua adalah bonus untuk kami,” kata Wan Arif.

Wan Arif-Roy King akan menentang wakil India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, beregu yang pernah menewaskan pasangan itu sebanyak tiga kali sebelum ini.