La Liga : Gol sendiri hukum Villarreal

FOTO AFP

GIRONA, 7 April – Villarreal terlepas peluang untuk mengukuhkan kedudukan dalam saingan La Liga apabila tewas 0-1 kepada Girona awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hantaran lintang Arnau Martinez tertampan Pau Navarro menjadi gol sendiri pada masa kecederaan babak pertama.
  • Gerard Moreno dan Renato Veiga bersemuka dengan penyokong yang jelas kecewa terhadap persembahan hambar.
  • Moreno: Kami langsung tidak berjaya melakukan percubaan tepat, jadi memang wajar mereka kecewa.
  • Girona kini di tangga ke-12, lapan mata di atas zon penyingkiran dan kedua pasukan masih dalam perlumbaan kelompok empat terbaik.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Marcelino Garcia Toral gagal memanfaatkan kekalahan Atletico Madrid kepada pendahulu liga, Barcelona sebelum ini.

Gol sendiri pemain pertahanan, Pau Navarro, pada penghujung babak pertama menjadi pemisah di Stadium Montilivi sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat tuan rumah.

Villarreal yang kini di tangga ketiga masih kekal satu mata di hadapan Atletico di kedudukan keempat, namun gagal melebarkan jurang selepas keputusan tersebut.

Meskipun begitu, kedua-dua pasukan dilihat masih berada di landasan kukuh untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik, dengan Real Betis ketinggalan 12 mata di belakang Atletico berbaki lapan perlawanan.

Selepas tamat perlawanan, pertahanan Renato Veiga dan kapten pasukan, Gerard Moreno, bertemu penyokong yang jelas kecewa dengan persembahan hambar pasukan.

“Mereka tidak gembira, sama seperti kami. Kami langsung tidak berjaya melakukan percubaan tepat, jadi memang wajar mereka kecewa,” kata Moreno.

Girona yang lebih menguasai separuh masa pertama berjaya memecah kebuntuan pada masa kecederaan apabila hantaran lintang Arnau Martinez tertampan oleh Navarro ke dalam gawang sendiri.

Villarreal gagal bangkit pada babak kedua, manakala Girona selesa mempertahankan kelebihan untuk naik ke tangga ke-12 liga, kini lapan mata di atas zon penyingkiran.-AFP