KNVB mahu FIFA dirombak, gesa Infantino diganti mulai 2027

Gambar hiasan / Foto fail REUTERS

AMSTERDAM, 30 Ogos – Persatuan Bola Sepak Diraja Belanda (KNVB) mahu FIFA melakukan rombakan menyeluruh terhadap struktur pentadbirannya, termasuk menggantikan Presidennya, Gianni Infantino, mulai 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • KNVB mencadangkan sidang kemuncak antarabangsa di Amsterdam bagi membincangkan hala tuju baharu FIFA.
  • KNVB menyatakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Gianni Infantino dan menuntut perubahan kepimpinan.
  • Menuntut rombakan struktur pentadbiran FIFA, termasuk mengurangkan kuasa presidensial serta memisahkan peranan presiden dan pentadbiran.
  • Tekankan semak dan imbang, hak asasi, kelestarian; cadang sehingga 90 peratus hasil boleh diagihkan dilabur semula untuk pembangunan.

KNVB turut mencadangkan satu sidang kemuncak antarabangsa mengenai masa depan FIFA diadakan di Amsterdam bagi membincangkan hala tuju baharu badan induk bola sepak dunia itu.

Dalam kenyataan hari ini, KNVB berkata, pihaknya tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan Infantino dan berpendapat FIFA memerlukan kepimpinan baharu selepas 2027.

Namun, badan itu menegaskan perubahan kepimpinan semata-mata tidak mencukupi kerana struktur dan kaedah pentadbiran FIFA juga perlu dirombak.

“Kami melihat terlalu banyak kuasa tertumpu kepada Presiden FIFA dan pemisahan antara Presiden dengan pentadbiran FIFA juga tidak mencukupi,” menurut KNVB.

KNVB sebelum ini menyokong Infantino dalam pemilihan presiden FIFA terakhir, namun menegaskan sokongan itu tidak pernah diberikan secara bersyarat.

Cadangan sidang kemuncak di Amsterdam itu bertujuan menentukan bentuk FIFA yang diperlukan dunia bola sepak sebelum memilih kepimpinan baharu yang sesuai dengan hala tuju berkenaan.

KNVB menggariskan tiga keutamaan utama reformasi iaitu memperkukuh tadbir urus melalui semak dan imbang yang lebih berkesan, meletakkan hak asasi manusia serta kelestarian sebagai asas dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh kerjasama antarabangsa.

Badan itu turut mencadangkan sehingga 90 peratus hasil FIFA yang boleh diagihkan dilaburkan semula dalam pembangunan bola sepak di seluruh dunia.

KNVB menegaskan usaha berkenaan tidak seharusnya menjadi agenda Eropah untuk seluruh dunia, sebaliknya mahu hala tuju baharu itu dibangunkan bersama 211 persatuan anggota FIFA dan konfederasi dari semua rantau.

Infantino dijangka bertanding bagi penggal keempat dalam pemilihan Presiden FIFA pada Mac 2027.

Tekanan terhadap kepimpinannya meningkat selepas cadangan FIFA untuk menjual pegangan dalam acara seperti Piala Dunia kepada pelabur swasta ditarik balik susulan tentangan daripada beberapa badan bola sepak utama.

Pada masa sama, UEFA, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) dilaporkan sedang mempertimbangkan undi tidak percaya terhadap Infantino.

KNVB merupakan antara anggota pengasas FIFA sejak 1904 dan berkata kedudukannya itu memberikan tanggungjawab khusus untuk membantu memperbaiki pentadbiran bola sepak antarabangsa.

Cadangan tersebut dibuat ketika UEFA turut mengambil langkah undang-undang untuk mendapatkan keterangan dan dokumen daripada entiti FIFA di Florida bagi menyokong aduan jenayah yang dirancang di Switzerland terhadap Infantino.

FIFA setakat ini belum memberikan maklum balas terhadap kenyataan terbaharu KNVB.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.