Jordan Mintah kembali sertai Terengganu FC

Jordan Mintah/Foto Terengganu FC

KUALA NERUS, 22 Julai – Bekas penyerang Kuching City FC (KCFC) Jordan Mintah kembali menyertai pasukan Terengganu FC (TFC) untuk cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • TFCSB sahkan Mintah menandatangani kontrak semusim dari Julai hingga 31 Mei 2027.
  • Mintah pernah beraksi untuk TFC pada 2020, dipinjam ke KL City pada 2023 dan berhijrah ke Kuching City pada 2024.
  • Kelab menilai pengalaman luasnya sebagai aset penting bagi memperkukuh jentera serangan musim ini.
  • TFC turut merekrut seorang pemain naturalisasi, lima import dan tiga pemain tempatan sebagai persiapan Liga M bermula 22 Ogos.

Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) dalam kenyataan hari ini mengesahkan pemain naturalisasi berusia 30 tahun itu telah menandatangani kontrak selama semusim bermula Julai hingga 31 Mei 2027.

Menurut kenyataan itu, Mintah pernah beraksi untuk TFC pada 2020 sebelum dipinjamkan ke Kuala Lumpur City FC (KL City FC) sekitar 2023 dan akhirnya memilih berhijrah ke skuad The Cats pada 2024.

“Selepas sekian lama, Mintah kini kembali memperkuat barisan serangan skuad Penyu yang bakal berdepan cabaran lebih getir musim ini.

“Pengalaman luas yang dimiliki dalam arena bola sepak tempatan dan antarabangsa menjadikan Mintah antara aset penting TFC dalam memperkukuh jentera serangan musim ini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Mintah dalam kenyataan sama berkata beliau amat bersyukur dan gembira kerana dapat pulang ke pangkuan TFC yang dianggap sebagai rumah keduanya.

Justeru, beliau bertekad untuk membalas kepercayaan tersebut dengan usaha keras bagi menaikkan reputasi dan mencapai sasaran yang ditetapkan pasukan musim ini.

TFC yang dibimbing Mohd Nafuzi Zain sebelum ini merekrut seorang pemain naturalisasi, lima tonggak import dan tiga pemain tempatan baharu sebagai persediaan mengharungi cabaran Liga M yang akan bermula 22 Ogos depan.

Pemain import termasuk Manuel Ott (Filipina), Victor Ruiz (Sepanyol), Elvis Kasomba (Burundi), Habib Haroon (Bahrain) dan Ngweni Ndasi (Cameroon).

Tonggak tempatan pula ialah Ahmad Haziq Kutty Abba, Muhammad Faiz Mazlan dan Muhammad Danial Amier Norhisham, serta pemain naturalisasi Romel Morales.
– BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.