
KUALA LUMPUR, 22 Julai – Pasukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) Malaysia, Selangor Red Giants (SRG) menyasarkan kedudukan podium pada Kejohanan Piala Pertengahan Musim (MSC) sempena Piala Dunia Esukan (EWC) bermula Rabu di Paris Expo Porte de Versailles, Perancis.
- SRG menyasarkan kedudukan podium, namun bertekad fokus perlawanan satu demi satu.
- Pemain komited menghadapi setiap perlawanan dan tidak memandang rendah mana-mana pasukan.
- Tiada perubahan ketara dalam persiapan, latihan tetap intensif dan berdisiplin.
- Jurulatih harap sokongan padu peminat akan memberi dorongan dan kebanggaan kepada pasukan.
Penolong jurulatih SRG, Poon Kok Sing berkata, para pemain komited untuk mengharungi setiap perlawanan tanpa memandang rendah terhadap mana-mana pasukan pada kejohanan itu.
“Kami sememangnya menyasarkan kedudukan podium. Tetapi seperti biasa, kami sentiasa mengingatkan antara satu sama lain untuk fokus dan menghormati setiap lawan, dan bukan sekadar melihat kepada matlamat akhir. Sepanjang kejohanan ini, kami akan fokus kepada perlawanan satu demi satu,” jelasnya.
Tambah Kok Sing yang turut dikenali sebagai OzoraVeki, SRG tidak membuat sebarang perubahan ketara dalam persiapan, sama seperti dilakukan pada kejohanan antarabangsa yang disertai sebelum ini.
“Saya boleh katakan tidak ada banyak perbezaan. Kami masih komited untuk bekerja keras dan melakukan yang terbaik semasa latihan. Kami sentiasa fokus, jadi itu sebahagian daripada jadual (persiapan) kami,” katanya.
Bekas pemain MLBB itu mengharapkan sokongan padu rakyat Malaysia bagi memberi dorongan kepada SRG yang turun dengan reputasi bekas juara MSC 2024 untuk berjuang sebaik mungkin.
“Mendapat sokongan peminat adalah satu penghargaan. Kami sememangnya mahu melakukan yang terbaik supaya dapat membanggakan mereka.
Sokongan itu akan terus mendorong kami untuk berjuang dalam kejohanan. Saya bersyukur dan sangat menghargainya,” katanya.