
PUTRAJAYA, 21 Julai– Tiada acara sukan wanita melibatkan atlet Wilayah Persekutuan akan digugurkan atas faktor kekangan kewangan bermula tahun hadapan.
- MSWP akan membuat perancangan bajet lebih teliti untuk pengurusan sukan.
- Kerajaan Wilayah tidak mahu meniru negeri lain yang memotong acara atau mengurangkan penyertaan atlet wanita.
- Atlet lelaki dan wanita akan diberikan fokus dan perhatian yang sama.
- MSWP membangunkan papan pemuka untuk memetakan kemudahan sukan bagi perancangan pembangunan atlet lebih tersusun dan efisien.
Komitmen itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh susulan perancangan bajet yang akan dibuat dengan lebih teliti.
“Dalam bajet Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) kita tidak mahu menjadi seperti negeri lain di mana kalau tidak cukup bajet mereka akan potong acara atau kurangkan penyertaan atlet wanita.
Saya tidak mahu perkara ini berlaku di Wilayah Persekutuan. Kedua-dua atlet, lelaki dan wanita akan diberikan fokus yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan ke SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026, di sini.
Dalam pada itu, Hannah berkata, MSWP kini sedang membangunkan sebuah papan pemuka (dashboard) bagi memetakan kemudahan sukan sedia ada.
Jelas beliau, inisiatif itu bertujuan memastikan perancangan pembangunan atlet dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan efisien.