
KUALA LUMPUR, 21 Julai– Penyerang, Hadi Fayyadh Abdul Razak menyifatkan panggilan sulung menyertai skuad senior Harimau Malaya sebagai penghargaan terbesar dalam karier bola sepaknya.
- Anggap panggilan sulung ke skuad senior penghargaan terbesar; hampir menitiskan air mata.
- Berazam membalas kepercayaan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe dengan aksi terbaik untuk negara.
- Komitmen penuh sebagai penyerang, berusaha menjaringkan gol bantu Harimau Malaya di Piala ASEAN 2026.
- Puji pengalaman beraksi di Jepun, cadang budaya profesional dan pengurusan sistematik dijadikan contoh pembangunan bola sepak negara.
Pemain berusia 26 tahun yang kini beraksi bersama kelab Jepun, Vencedor Mie United Club itu berazam membalas kepercayaan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe dengan memberikan aksi terbaik buat negara.
Sebagai penyerang, beliau menyatakan komitmen penuh serta berusaha menjaringkan gol bagi membantu Harimau Malaya menghadapi saingan Piala ASEAN 2026.
“Saya hampir menitiskan air mata sebaik menerima panggilan. Peluang ini saya anggap sebagai ganjaran kepada segala pengorbanan serta cabaran yang ditempuhi sepanjang karier bola sepak
Impian menyarung jersi skuad senior akhirnya menjadi kenyataan kerana sebelum ini saya hanya pernah mewakili skuad Bawah 23 Tahun negara pada Sukan SEA 2022 di Vietnam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada kem latihan pusat Harimau Malaya, di sini.
Dalam pada itu, Hadi turut mengulas pengalaman beliau beraksi di Jepun dan berharap pendekatan yang di amalkan di sana dapat dijadikan contoh buat negara.
“Budaya profesional yang diterapkan, termasuk aspek kebajikan pemain, kemudahan latihan, kualiti padang dan pengurusan yang sistematik wajar dijadikan contoh dalam pembangunan bola sepak negara,” ujarnya lagi.