
KUALA LUMPUR, 17 Mei – Johor Jewels mencatat kemenangan bergaya apabila menewaskan KL Wildcats 66-45 pada kejohanan Netball Super League (NSL) di Stadium Juara, Bukit Kiara, pada Sabtu.
- Johor Jewels melayakkan diri ke pentas akhir NSL hasil kemenangan konsisten.
- Pasukan mempamerkan dominasi sejak awal dengan permainan tersusun dan penyudah kemas.
- Matilda McDonell dinobat 'Queen of the Court'; jurulatih Jane Searle optimis dengan pertahanan diperkukuh menentang Terengganu Marvels.
Kemenangan itu sekali gus melayakkan Johor Jewels ke pentas akhir yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Johor Jewels mempamerkan dominasi sejak awal permainan apabila mendahului 22-6 pada suku pertama, sebelum menjarakkan kedudukan kepada 41-19 pada suku kedua hasil permainan tersusun dan penyudah kemas di kawasan jaringan.

Memasuki suku ketiga, KL Wildcats cuba bangkit untuk merapatkan jurang mata, namun Johor Jewels konsisten mengumpul mata untuk terus memimpin perlawanan 56-33, sebelum menutup saingan dengan keputusan mutlak 66-45.
Pemain import Johor Jewels, Matilda McDonell dinobatkan sebagai ‘Queen of the Court’ atas aksi cemerlangnya di posisi pertahanan.
Ketua Jurulatih Johor Jewels, Jane Searle optimis pasukannya mampu memberikan tentangan sengit di pentas akhir, susulan kekalahan tipis kepada Terengganu Marvels dalam pusingan terdahulu.

“Saya rasa kami semakin merapati prestasi mereka dan kami cukup yakin untuk beraksi di pentas final. Kami telah mengubah sedikit rancangan permainan dan kini mempunyai bahagian pertahanan yang lebih kuat dengan kehadiran pemain import.
“Perkara ini akan memberi sesuatu untuk mereka (lawan) fikirkan. Apa yang penting, kami perlu menjaga bola dengan lebih baik berbanding perlawanan lalu. Kami tiada apa-apa untuk dirugikan, begitu juga mereka.
“Namun, saya menjangkakan satu perlawanan yang sengit buat kedua-dua pasukan,” katanya kepada ketika ditemui selepas perlawanan.
Perlawanan akhir bakal menyaksikan pertembungan semula antara Johor Jewels dengan Terengganu Marvels bagi merebut takhta kejuaraan Netball Super League (NSL).