
KUALA LUMPUR, 9 Januari – Johor Motorsports Racing (JMR) mengumumkan kerjasama strategik bersama syarikat perlindungan automotif premium, XPEL bagi musim perlumbaan 2026.
- JMR dan XPEL naikkan hubungan kepada rakan kongsi musim penuh untuk sokongan perlumbaan 2026.
- Kerjasama menekankan kepentingan perlindungan jentera bagi mengekalkan prestasi dan penampilan sepanjang perlumbaan.
- JMR akan beraksi dalam siri perlumbaan utama 2026 termasuk Asian Le Mans, Bathurst, Suzuka dan Indianapolis.
Dalam kenyataan rasmi, JMR memaklumkan XPEL dinaik taraf daripada rakan acara kepada rakan kongsi musim penuh, susulan kejayaan pasukan itu meraih podium pada perlumbaan ketahanan Suzuka 1000 di Jepun, September lalu.
Presiden JMR merangkap pemandu utama, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim (Tunku Putera Jefri Ibrahim), menyifatkan XPEL sebagai rakan strategik penting dalam usaha pasukan memburu kejayaan berterusan.
“Perlindungan jentera amat penting dalam perlumbaan ketahanan bagi memastikan prestasi dan penampilan kekal terbaik sepanjang perlumbaan,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden XPEL Asia Pasifik, Chris West berkata kerjasama tersebut mencerminkan keserasian nilai kedua-dua pihak dalam aspek prestasi dan ketepatan, selain mengukuhkan jenama XPEL di pasaran Asia.
Musim 2025 menyaksikan JMR mencatat pencapaian membanggakan termasuk kemenangan sulung Corvette Z06 GT3.R di GT World Challenge Sepang, podium di Suzuka 1000 serta penyertaan dalam Perlumbaan 24 Jam Spa di Belgium.
Bagi musim 2026, JMR dijadualkan beraksi dalam beberapa perlumbaan utama termasuk Asian Le Mans Series, Bathurst 12 Hour, Suzuka 1000 dan Indianapolis 8 Hour.