
KUALA LUMPUR, 9 Januari – Pengurusan tekanan dan ketenangan atlet menjadi fokus utama kem olahraga para negara dalam usaha memastikan prestasi terbaik pada Temasya Para ASEAN 2025 di Korat, Thailand bermula 20 hingga 26 Januari ini.
- Fokus utama kem adalah pengurusan tekanan dan ketenangan atlet untuk prestasi terbaik pada Para ASEAN 2025.
- Latihan fizikal dikurangkan dan simulasi pertandingan dilaksanakan untuk biasakan atlet dan elak kecederaan saat akhir.
- ISN memantau aspek fizikal dan mental agar semua atlet capai kesiapsiagaan optimum.
- Pasukan pecut dan lompat jauh memberi tumpuan kepada simulasi terakhir, teknik run up dan pemulihan untuk capai sasaran pingat.
Pendekatan itu diterjemahkan menerusi pengurangan intensiti latihan fizikal serta pelaksanaan simulasi pertandingan bagi membiasakan atlet dengan situasi sebenar selain mengelakkan risiko kecederaan saat akhir.
Pemantauan rapi oleh Institut Sukan Negara (ISN) turut meliputi aspek fizikal dan mental bagi memastikan semua atlet berada pada tahap kesiapsiagaan optimum.
Jelas Jurulatih pecut para negara, Faizal Aideal Suhaimi berdasarkan penilaian semasa, kem pecut meletakkan sasaran tiga pingat emas, lima perak dan dua gangsa, hasil peningkatan prestasi atlet sepanjang fasa persiapan.
“Untuk pasukan pecut, kita dalam persiapan akhir dan semua atlet telah menunjukan pretasi cemerlang ketika ini.
“Kita ada melakukan beberapa percubaan simulasi dan nampak prestasi mereka semakin meningkat sebelum diadakan satu lagi simulasi terakhir,” katanya.
Sementara itu, kem lompat jauh memberi tumpuan kepada kekemasan teknik larian dan lompatan bagi mengurangkan kesilapan mudah ketika pertandingan sebenar.
Ketua Jurulatihnya, Eryanto Bahtiar menyatakan segala persiapan lain juga sudah dilakukan dengan baik menjelang temasya nanti.
“Sebenarnya dalam seminggu ini memang dalam fasa akhir kebanyakan latihan lebih tertumpu kepada spesifik run up dan lompatan jauh selain proses pemulihan,” katanya.
Pendekatan menyeluruh ini diharap mampu membantu kem olahraga para negara mencapai sasaran pingat yang ditetapkan pada Para ASEAN 2025.