
SEPANG, 13 April – Pelumba sensasi JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah optimis mampu mengekalkan momentum cemerlang menjelang pusingan kedua kategori ASB1000 Kejuaraan Perlumbaan Jalan Raya Asia (ARRC) 2026 di Buriram, Thailand, Mei ini.
- Menyapu bersih kemenangan Perlumbaan 1 dan 2 di Litar Antarabangsa Sepang.
- Mengutip mata maksimum 50 untuk menerajui carta keseluruhan.
- Sedia berdepan cabaran Nakarin Athiratphuvapat yang beraksi di laman sendiri dan diuji di litar itu.
- Kemenangan berganda meletakkan beliau landasan kukuh memburu kejuaraan serta mengukuhkan status sebagai pelumba terkemuka Asia.
Keyakinan itu hadir selepas mempamerkan dominasi mutlak dengan menyapu bersih kemenangan dalam Perlumbaan 1 dan 2 di Litar Antarabangsa Sepang.
Pencapaian itu membolehkan beliau mengumpul mata maksimum 50 mata untuk menerajui carta keseluruhan.
Hafizh bagaimanapun mengakui bakal berdepan cabaran getir di Litar Antarabangsa Chang daripada jaguh tuan rumah, Nakarin Athiratphuvapat, yang dijangka memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.
“Nakarin adalah antara pelumba yang perlu diberi tumpuan kerana pusingan akan datang berlangsung di tempat sendiri buat beliau dan pasukan Honda. Mereka pastinya akan tampil lebih kuat selepas melakukan ujian litar di sana.
“Situasi ini sebahagian daripada cabaran dalam perlumbaan. Fokus saya adalah memastikan persediaan mental dan fizikal berada pada tahap terbaik untuk mengekalkan kelebihan ini,” katanya.
Ketika ini, pelumba SDG HARC-PRO Honda, Keito Abe menghuni tangga kedua keseluruhan dengan 40 mata, manakala rakan sepasukan Hafizh, Andi Farid Izdihar di kedudukan ketiga (32 mata).
Kemenangan berganda di Sepang itu meletakkan bekas pelumba MotoGP negara berkenaan di landasan terbaik untuk memburu mahkota kejuaraan musim ini, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pelumba terbaik dalam arena sukan permotoran Asia.