Glasgow 2026 : Angkat berat cetus hari gemilang Malaysia dengan dua emas, satu gangsa

Atlet angkat berat negara Muhamad Aznil Bidin (tengah) bersama pingat emas yang dimenanginya dalam kategori 65kg lelaki pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026. Raja Muthupandi (kiri) dari India menang perak manakala Baru Morea dari Papua New Guinea gangsa / Foto BERNAMA

GLASGOW, 27 Julai – Hari ketiga Sukan Komanwel Glasgow 2026 menjadi detik paling gemilang buat kontinjen negara setakat ini apabila kem angkat berat menghadiahkan dua pingat emas dan satu gangsa, sekali gus melonjakkan kedudukan Malaysia dalam carta pingat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohamad Aniq Kasdan memenangi emas kategori 60kg, memecah dua rekod temasya: clean and jerk 152kg dan jumlah 273kg.
  • Muhamad Aznil Bidin meraih emas kategori 65kg kali ketiga berturut-turut, memecah tiga rekod temasya: snatch 133kg, clean and jerk 166kg, jumlah 299kg.
  • Irene Jane Henry mencipta kejutan dengan gangsa kategori 48kg wanita pada penampilan sulung, jumlah angkatan 167kg.
  • Tumpuan seterusnya kepada Muhammad Erry Hidayat dalam final 79kg; Mohammad Sharul Aimy dan Rachel Yeoh meluru ke final gimnastik.

Mohamad Aniq Kasdan menceriakan kem negara dengan menghadiahkan pingat emas pertama Malaysia menerusi kategori 60 kilogram (kg) lelaki selepas mencatat jumlah angkatan 273kg di Scottish Event Campus (SEC) Armadillo.

Beliau turut mencipta dua rekod temasya menerusi angkatan 152kg dalam clean and jerk serta jumlah keseluruhan 273kg.

Kegembiraan kem negara diteruskan beberapa jam kemudian apabila Muhamad Aznil Bidin meraih emas Sukan Komanwel buat kali ketiga berturut-turut selepas mengungguli kategori 65kg lelaki dengan jumlah angkatan 299kg.

Atlet berusia 32 tahun itu turut memperbaharui tiga rekod temasya menerusi angkatan snatch 133kg, clean and jerk 166kg serta jumlah keseluruhan 299kg.

Turut mencuri tumpuan ialah Irene Jane Henry yang menghadiahkan pingat gangsa dalam kategori 48kg wanita pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel selepas mencatat jumlah angkatan 167kg.

Dalam boling padang, pairs wanita Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman meneruskan rentak positif selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Beth Riva dan Caroline Brown, pada perlawanan keempat peringkat kumpulan.

Pemain singles lelaki Izzat Shameer Dzulkeple turut merakam kemenangan keempat berturut-turut pada peringkat kumpulan, sekali gus mencerahkan peluangnya untuk mara ke separuh akhir.

Sementara itu, dua gimnas artistik wanita Yeap Kang Xian dan Cadence Teh Zi Qi, masing-masing menamatkan saingan final individu all-around tempat kelapan dan ke-12.

Dalam acara bola keranjang berkerusi roda 3×3 lelaki, skuad negara gagal mengekang cabaran Scotland apabila tewas 6-18 pada aksi kedua peringkat kumpulan.

Dalam acara renang pula, kuartet negara yang dibarisi Khiew Hoe Yean, Arvin Shaun Singh Chahal, Lim Yin Chuen dan Tan Khai Xin menamatkan final 4×200 meter (m) gaya bebas lelaki di tempat kelima dengan catatan tujuh minit 23.72 saat (s).

Tumpuan kontinjen negara esok terarah kepada Muhammad Erry Hidayat yang akan meneruskan cabaran kem angkat berat dalam final kategori 79kg lelaki pada 3 pagi Selasa waktu Malaysia.

Pemenang pingat perak Birmingham 2022 itu dijangka menjadi sandaran utama Malaysia untuk meneruskan momentum cemerlang skuad angkat berat, selain memburu emas pertamanya di pentas Sukan Komanwel.

Turut berpeluang menambah koleksi pingat negara ialah gimnas Mohammad Sharul Aimy Kamaru Hisam dalam final senaman lantai lelaki, diikuti Rachel Yeoh Li Wen dalam final palang bertingkat wanita.

Malaysia kini menduduki tempat ketujuh dalam carta pingat dengan dua emas dan dua gangsa.

Juara bertahan Australia mengungguli carta dengan 17 emas, sembilan perak dan 13 gangsa, diikuti England di tempat kedua dengan empat emas, sembilan perak dan enam gangsa, manakala kontinjen tuan rumah menghuni kedudukan ketiga menerusi empat emas dan dua perak.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.