
MELAKA, 27 Julai – Hampir 10,000 peserta direkodkan menyertai Sukan Melaka 2026 melibatkan sembilan acara utama yang dipertandingkan pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 24 Mei lepas hingga Ahad.
- Sukan Melaka 2026 melibatkan sembilan acara utama termasuk bola sepak, sepak takraw, bola jaring, bola keranjang, futsal, badminton, snuker, dam aji dan konda kondi.
- Sukan Melaka mencungkil bakat baharu, menyemarakkan persaingan sihat dan menyatukan keluarga besar Melaka.
- 492 atlet dipilih untuk mewakili Melaka pada SUKMA ke-22 di Selangor.
- Kerajaan negeri peruntuk lebih RM10 juta untuk naik taraf dewan badminton, bina lapang sasar memanah dan baik pulih kemudahan sukan komuniti.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, temasya edisi keempat itu melibatkan acara seperti bola sepak, sepak takraw, bola jaring, bola keranjang, futsal, badminton, snuker, dam aji dan konda kondi.
Menurutnya, Sukan Melaka telah berkembang menjadi satu gelombang yang merentasi seluruh negeri, mencungkil bakat baharu, menyemarakkan persaingan sihat dan menyatukan seluruh keluarga besar Melaka.
“Daripada kesinambungan pembangunan sukan yang kita gerakkan ini, sebanyak 492 atlet telah dipilih untuk menyarung jersi negeri dan menggalas cabaran Melaka pada Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 yang akan berlangsung di Selangor.
“Inilah hasil yang kita mahu daripada gelanggang rakyat, kita lahirkan juara daripada setiap DUN, kita angkat nama Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Sukan Melaka 2026 Piala Ketua Menteri dan Peluncuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Paya Rumput di Stadium Hang Jebat di sini.
Turut hadir Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin dan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Datuk VP Shanmugam.
Sementara itu, Datuk Seri Ab Rauf berkata, kejayaan yang diraikan tidak boleh terhenti setakat pingat dan piala, sebaliknya tanggungjawab kerajaan negeri adalah memastikan setiap bakat terus digilap, atlet terus dibimbing dan potensi diberikan ruang untuk melangkah lebih jauh.
Justeru, beliau berkata pada tahun ini sahaja, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM10 juta untuk memperkasakan kemudahan serta membangunkan infrastruktur sukan baharu di seluruh negeri.
“Kita naik taraf dewan badminton, kita bina lapang sasar memanah dan kita tambah baik kemudahan sukan komuniti pada setiap DUN. Satu demi satu kita laksanakan supaya rakyat mempunyai akses kepada kemudahan sukan yang lebih baik.
“Saya mahu setiap anak muda sama ada di kampung, taman perumahan mahupun di seluruh pelosok negeri diberi ruang dan gelanggang untuk menyerlahkan kebolehan serta membuktikan potensi masing-masing,” katanya. -Bernama