King Kazu kembali temui jaringan pada usia 59 tahun

Kazuyoshi Miura

TOKYO, 27 Julai – Pemain bola sepak profesional tertua dunia, Kazuyoshi Miura berjaya menjaringkan gol kompetitif pertamanya dalam tempoh hampir empat tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menjaringkan gol membantu Fukushima United menang 7-0 ke atas Iwaki Furukawa FC dalam kelayakan Piala Maharaja.
  • Gol dijaringkan pada minit ke-52 selepas menyambar hantaran lintang Takatora Einaga, menewaskan dua pertahanan.
  • Gol itu dicatatkan pada musim profesionalnya yang ke-41 dan menamatkan kemarau jaringan sejak November 2022.
  • Miura memulakan kerjaya dengan Santos 1986, beraksi di beberapa negara dan menjaringkan 55 gol dalam 89 penampilan antarabangsa.

Penyerang berusia 59 tahun itu meledakkan gol untuk membantu Fukushima United membelasah Iwaki Furukawa FC 7-0 pada aksi kelayakan Piala Maharaja Jepun hujung minggu lalu.

Gol itu hadir pada musim profesionalnya yang ke-41, sekali gus menamatkan kemarau gol sejak November 2022.

Pemain yang diberi jolokan King Kazu itu menyempurnakan gol kelima Fukushima pada minit ke-52 selepas menyambar hantaran lintang Takatora Einaga di dalam kotak penalti sebelum mengatasi dua pertahanan lawan.

“Saya gembira dapat berada di posisi yang tepat. Walaupun situasinya agak kelam-kabut, yang penting kami berada di tempat yang sepatutnya. Saya juga mahu membalas kepercayaan jurulatih yang memberi peluang kepada saya untuk terus beraksi.

“Paling menggembirakan, walaupun pasukan sudah mendahului dengan selesa, semua pemain, pegawai dan penyokong tetap meraikan gol itu dengan penuh kegembiraan,” katanya.

Miura memulakan karier profesionalnya bersama kelab Brazil, Santos pada 1986 sebelum turut beraksi di Itali, Croatia, Australia dan Portugal.

Penyerang legenda skuad Samurai Biru berkenaan merupakan antara tokoh penting yang membantu meningkatkan populariti sukan bola sepak di Jepun ketika penubuhan Liga J pada 1993.

Di pentas antarabangsa, Miura membuat penampilan sulung bersama Jepun pada 1990 dan berkaya menjaringkan 55 gol dalam 89 perlawanan.

Miura menyertai Fukushima United secara pinjaman pada Januari lalu dengan tekad menyumbang gol dan bantuan jaringan kepada kelab tersebut.

Musim lalu, beliau beraksi bersama Atletico Suzuka dalam divisyen keempat Jepun, namun gagal menjaringkan sebarang gol dalam lapan penampilan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.