
ISTANBUL, 4 Ogos – Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) berkata Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) gagal melaksanakan peraturan sendiri terhadap Israel, selain menuduh badan induk itu tidak bertindak selama bertahun-tahun, walaupun bola sepak Palestin mengalami kemusnahan besar, lapor Anadolu Ajansi.
- Lebih 1,013 pemain, jurulatih, pengadil dan pegawai bola sepak Palestin terbunuh; stadium dan kemudahan latihan musnah.
- PFA mengkritik FIFA kerana tidak mengambil tindakan terhadap kelab Israel di wilayah yang diduduki; aduan lebih 15 tahun tidak diselesaikan.
- Keganasan berterusan walaupun gencatan senjata; dua tahun pencerobohan bermula 8 Okt 2023 musnahkan 90 peratus infrastruktur awam, kos pembinaan semula US$70 bilion.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, PFA memaklumkan lebih 1,013 pemain, jurulatih, pengadil, pegawai dan komuniti bola sepak Palestin terbunuh dalam perang genosid Israel di Gaza, manakala stadium, kemudahan latihan serta infrastruktur bola sepak turut musnah.
PFA turut mengkritik FIFA kerana gagal mengambil tindakan terhadap kelab Israel di wilayah Palestin yang diduduki, sambil berkata aduan yang dikemukakannya sejak lebih 15 tahun lalu masih belum diselesaikan.
“Berdiam diri ketika genosid dilakukan secara langsung bererti bersubahat,” menurut kenyataan itu.
PFA berkata bahawa bola sepak Palestin “tidak lagi mampu menerima janji tanpa tindakan”, manakala FIFA belum memberikan sebarang ulasan mengenai kenyataan itu.
Tentera Israel terus melancarkan serangan setiap hari di Gaza meskipun gencatan senjata berkuat kuasa sejak 10 Okt 2025, menyebabkan sekurang-kurangnya 1,250 rakyat Palestin terbunuh dan 4,110 lagi cedera.
Perjanjian gencatan senjata itu dicapai selepas dua tahun genosid yang dilancarkan Israel pada 8 Okt 2023, menyebabkan kemusnahan meluas membabitkan 90 peratus infrastruktur awam, dengan kos pembinaan semula dianggarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekitar US$70 bilion. – BERNAMA-ANADOLU