Dominasi di Masters China bukti Se-young bersedia pertahan emas Sukan Asia

An Se-young/ Foto AFP

BEIJING, 7 September – Pemain perseorangan wanita nombor satu dunia, An Se-young menghantar isyarat awal menjelang temasya Sukan Asia 2026 selepas merangkul kejuaraan China Masters buat kali ketiga berturut-turut, pada Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • An Se-young dijangka mempertahankan mahkota Sukan Asia di Aichi-Nagoya bermula 19 September.
  • An menewaskan Tomoka Miyazaki 21-17, 21-6 untuk menang final China Masters.
  • Kejutan di akhir perseorangan lelaki: Jason Gunawan tewaskan Lee Cheuk-Yiu 21-9, 21-16.
  • Beregu lelaki India Rankireddy dan Shetty menang tiga set, bakal pertahankan gelaran Sukan Asia.

Juara Olimpik dan dunia dari Korea Selatan itu bakal mempertahankan mahkotanya apabila Sukan Asia bermula pada 19 September ini di Aichi-Nagoya, Jepun.

Pemain berusia 24 tahun itu diramal menjadi pilihan utama selepas menjuarai kejohanan di Shenzhen pada Ahad setelah menumpaskan Tomoka Miyazaki 21-17, 21-6.

Dalam pada itu, pentas akhir perseorangan lelaki menyaksikan kejutan pertembungan sesama wakil Hong Kong, menyaksikan Jason Gunawan yang berada di kedudukan ke-32 dunia menewaskan Lee Cheuk-Yiu 21-9, 21-16.

Bagi acara beregu lelaki, pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty menewaskan wakil tuan rumah, He Jiting dan Ren Xiangyu menerusi perlawanan tiga set.

Pasangan tersebut juga dijadualkan mempertahankan kejuaraan Sukan Asia mereka di Jepun nanti.

Acara beregu campuran pula dimenangi pasangan China, Feng Yanzhe dan Huang Dongping, manakala mahkota beregu wanita dirangkul oleh pasangan Jepun, Sumire Nakade dan Miyu Takahashi.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.