
AMPANG, 5 September- Calon Naib Presiden 1 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed mahu barisan kepimpinan baharu badan induk itu memberi keutamaan kepada usaha mengembalikan kepercayaan penyokong terhadap skuad Harimau Malaya.
- Perkasakan sesi libat urus dengan penyokong untuk jelaskan hala tuju, misi dan visi pasukan kebangsaan.
- Hargai penyokong sebagai pemain ke-12; berkorban termasuk dari segi kewangan, perlu diraih kembali sokongan mereka.
- Jadikan kekhilafan lalu sebagai pengajaran supaya pentadbiran baru dapat bergerak ke hadapan tanpa ulangi kesilapan.
- Seramai 23 calon disahkan bertanding jawatan Jawatankuasa Eksekutif FAM; Kongres Luar Biasa dijadual 17 September untuk pemilihan.
Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) itu berkata sesi libat urus bersama penyokong perlu diperkasakan bagi menjelaskan hala tuju, misi dan visi pasukan kebangsaan dengan lebih jelas.
Menurutnya, penyokong merupakan “pemain ke-12” yang banyak berkorban termasuk daripada segi kewangan, bagi terus memberikan sokongan kepada pasukan negara.
“Sesiapa sahaja yang dipilih perlu banyak melakukan libat urus dengan penyokong Harimau Malaya kerana mereka adalah orang paling penting.
“Kita perlu kembali kepada mereka, jelaskan hala tuju, misi dan visi dengan jelas supaya mereka faham dan kembali menyokong pasukan negara kerana mereka adalah penyokong yang berjasa,” katanya.
Firdaus, yang pernah terlibat dalam FAM selama lebih dua penggal, berkata pencalonannya pada pemilihan kali ini didorong keinginan untuk membantu memulihkan reputasi badan induk berkenaan.
Katanya, sebarang kekhilafan lalu perlu dijadikan pengajaran dan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk FAM bergerak ke hadapan.
“Benda yang lepas mungkin ada kekhilafan dan kita sebagai manusia tidak terlepas daripada itu.
“Kita perlu bergerak ke depan dan menjadikan perkara itu sebagai pengajaran kepada pemimpin-pemimpin yang akan datang supaya perkara sama tidak berulang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengenalan Pasukan Selangor PBMS menjelang aksi Piala Agong 2026 dan Majlis Undian Piala Emas Raja-Raja 2026 di sini hari ini.
Seramai 23 calon disahkan bertanding bagi jawatan Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk baki penggal 2025-2029 pada Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 yang dijadual berlangsung 17 September ini.