
AMPANG, 5 September- Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) buat julung kalinya membawa perlawanan akhir Piala Agong ke peringkat daerah apabila Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam dipilih sebagai venue final edisi 2026.
- PBMM menyasarkan merakyatkan bola sepak dan memberi peluang masyarakat luar bandar menyaksikan aksi dengan lebih dekat.
- Pertembungan Selangor dan Kuala Lumpur dijangka sengit serta mampu menarik sokongan masyarakat setempat.
- Pemilihan lokasi final membuka ruang mendekatkan sukan ini kepada akar umbi dan komuniti luar bandar.
- PBMM berharap masyarakat setempat hadir memberi sokongan bagi memenuhi stadium dan memeriahkan suasana perlawanan.
Presiden PBMM, Mohd Firdaus Mohamed berkata langkah itu selari dengan usaha persatuan merakyatkan bola sepak serta memberi peluang kepada masyarakat luar bandar menyaksikan aksi berkenaan dengan lebih dekat.
Menurutnya, pertembungan Selangor dan Kuala Lumpur pada perlawanan akhir dijangka berlangsung sengit dan mampu menarik sokongan masyarakat setempat untuk memenuhi stadium yang berkapasiti antara 6,000 hingga 7,000 penonton.
“Ini merupakan pertandingan yang menarik khususnya pertembungan antara Selangor dan Kuala Lumpur yang sememangnya mempunyai persaingan tersendiri.
“Kita memilih Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam sebagai venue final dan ini merupakan kali pertama kita membawa perlawanan akhir ke peringkat daerah.
“Kita berharap masyarakat setempat dapat memberikan sokongan dengan hadir menyaksikan perlawanan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengenalan Pasukan Selangor PBMS menjelang aksi Piala Agong 2026 dan Majlis Undian Piala Emas Raja-Raja 2026 di sini hari ini.
Mohd Firdaus berkata sebelum ini perlawanan akhir kebiasaannya berlangsung di kawasan bandar, justeru pemilihan Sabak Bernam membuka ruang kepada PBMM untuk mendekatkan bola sepak dengan masyarakat di peringkat akar umbi.
“Kita sering menyuarakan usaha untuk merakyatkan bola sepak. Justeru, kita turun ke peringkat akar umbi bagi mendekatkan sukan ini dengan masyarakat,” katanya lagi.