Sukan Asia Aichi-Nagoya: Newjoe Lau mahu manfaatkan penampilan sulung

Newjoe Lau

KUALA LUMPUR, 5 September – Pelumba berbasikal trek negara, Newjoe Lau mahu menggunakan penampilan sulung pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 untuk membuktikan acara endurance turut mempunyai potensi besar di Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beralih dari sukan luncur ais kepada berbasikal trek dalam lima tahun, menunjukkan perkembangan pesat.
  • Terinspirasi oleh kejayaan Datuk Azizulhasni Awang raih perak keirin Tokyo 2020, cetus minat ceburi berbasikal trek.
  • Bantu negara raih emas kejar-mengejar berpasukan lelaki Sukan SEA Thailand 2025, antara detik paling bermakna.
  • Kembali latihan lima hari selepas kemalangan final scratch Komanwel Glasgow; MSN sediakan basikal baru selepas basikalnya patah.

Pelumba berusia 21 tahun itu dalam satu kenyataan menyatakan hasrat agar pencapaiannya pada temasya itu dapat membuka lebih banyak ruang dan sokongan terhadap pembangunan acara berkenaan.

“Saya nak tunjukkan bahawa acara berbasikal trek endurance juga ada tempat dan potensi di Malaysia. Saya harap kita boleh mendapat lebih banyak sokongan untuk acara ini seperti mana yang diberikan kepada acara lain.

“Peluang beraksi di Aichi-Nagoya hadir selepas perjalanan lima tahun yang menyaksikan beliau beralih daripada sukan luncur ais kepada berbasikal trek,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu beliau menyifatkan kejayaan Datuk Azizulhasni Awang meraih pingat perak acara keirin pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 telah mencetuskan minatnya untuk menceburi sukan berbasikal trek.

Dalam kenyataan sama, beliau juga menyatakan kejayaan membantu negara meraih emas acara kejar-mengejar berpasukan lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025 menjadi antara detik paling bermakna dalam kariernya.

Kini Newjoe Lau bakal beraksi dalam acara omnium di Aichi-Nagoya selepas kembali menjalani latihan hanya lima hari selepas terbabit dalam kemalangan pada final scratch Sukan Komanwel Glasgow bulan lalu.

“Saya ingin pastikan setiap sesi latihan mencapai sasaran yang ditetapkan dan saya beri sepenuh usaha. Bila sampai hari perlumbaan nanti, saya tahu saya sudah buat yang terbaik,” kata Newjoe Lau.

Majlis Sukan Negara (MSN) turut menyediakan basikal baharu selepas basikal miliknya patah dalam kemalangan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.