Cabaran perseorangan lelaki negara berakhir

Pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao tewas kepada pemain China, Hu Zhe An pada Kejohanan Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena Bukit Jalil – Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Cabaran Malaysia dalam acara perseorangan lelaki di Kejohanan Malaysia Masters 2026 terhenti apabila Justin Hoh dan Leong Jun Hao terkandas seawal pusingan pertama di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Justin Hoh tewas kepada Anthony Sinisuka Ginting 16-21, 14-21, akui pengalaman lawan dan tekanan menjejaskan prestasi.
  • Leong Jun Hao tewas kepada Hu Zhe An 19-21, 21-23, beberapa mata kritikal gagal dimanfaatkan.
  • Malaysia belum muncul juara perseorangan lelaki Malaysia Masters sejak Lee Chong Wei 2016, kemarau kini sedekad.

Justin yang menghuni ranking ke-45 dunia tewas kepada pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, 16-21, 14-21 dalam aksi straight set.

Pemain berusia 22 tahun itu mengakui pengalaman dimiliki lawannya menjadi faktor utama kekalahan tersebut.

Pemain perseorangan lelaki negara Justin Hoh tewas 16-21, 14-21 kepada pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting – Foto BERNAMA

“Saya rasa hari ini lawan saya memang sangat yakin. Semua orang tahu dia sangat berpengalaman dan ini kali pertama saya main dengan dia, jadi saya rasa tak selesa sangat bermain dengan dia.

“Saya cuba buat yang terbaik dan mahu tunjuk kepada semua orang yang perseorangan lelaki boleh. Namun mungkin tekanan itu datang dalam diri sendiri. Apa pun, kami akan teruskan
perjuangan untuk kejohanan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, Jun Hao yang berada di ranking ke-25 dunia turut menerima nasib sama apabila tewas kepada pemain China, Hu Zhe An, 19-21, 21-23.

Jun Hao menyifatkan beberapa mata kritikal yang gagal dimanfaatkan menjadi punca utama kekalahannya meskipun memberi tentangan sengit sepanjang perlawanan.

“Saya rasa dalam penghujung permainan itu beberapa kali saya sudah lakukan yang terbaik, tetapi dia masih dapat kembalikan bola. Itu yang buat saya agak sukar untuk overcome mata-mata penting,” katanya.

Leong Jun Hao tewas dengan keputusan 19-21 dan 21-23 Foto BERNAMA

Beliau turut mengakui isu-isu yang melanda sebelum ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap fokusnya menjelang perlawanan tersebut.

“Kalau cakap tidak terkesan memang tak betullah, namun mental saya tetap fokus kepada perlawanan hari ini,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia muncul juara perseorangan lelaki di Malaysia Masters adalah menerusi Datuk Seri Lee Chong Wei pada 2016, sekali gus menyaksikan kemarau kejuaraan acara itu kini berlanjutan selama sedekad.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.