
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Impian pemain boling wanita negara Natasha Mohamed Roslan untuk muncul pemain Malaysia pertama menjuarai kejohanan berprestij Kongres Boling Amerika Syarikat (USBC) Queens masih belum kesampaian selepas sekadar muncul naib juara di Las Vegas, hari ini.
- Natasha mengesahkan tempat ke final selepas menewaskan wakil Singapura New Hui Fen 227-205 pada peringkat separuh akhir.
- Natasha membawa pulang hadiah wang tunai USD30,000 hasil penampilannya di USBC Queens.
- Pilihan tuan rumah Erin McCarthy meraih gelaran juara dan menerima hadiah USD60,000.
- Ini adalah penampilan kedua Natasha dalam Jelajah PWBA musim ini dan USBC Queens merupakan salah satu daripada tiga kejohanan utama.
Pemain berusia 30 tahun itu terpaksa akur dengan kehebatan pilihan utama tuan rumah, Erin McCarthy apabila tewas 204-225 pada aksi final yang berlangsung di Pusat Boling Gold Coast.
Terdahulu, Natasha mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan sebelum mengesahkan tempat ke final stepladder selepas menewaskan wakil Singapura, New Hui Fen 227-205 pada peringkat separuh akhir.

Keputusan itu menyaksikan Natasha membawa pulang hadiah wang tunai USD30,000 (RM119,100), manakala McCarthy meraih USD60,000 (RM238,200) selaku juara.
Tahun lepas, seorang lagi pemain negara Sin Li Jane turut menamatkan saingan sebagai naib juara kejohanan sama.
Kejohanan USBC Queens itu juga menjadi penampilan kedua Natasha dalam saingan Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) musim ini selepas menduduki tempat ke-16 pada PWBA Terbuka Northern Colorado, dua minggu lepas.
USBC Queens merupakan satu daripada tiga kejohanan utama dalam kalendar Jelajah PWBA.- BERNAMA