
KUALA LUMPUR, 6 Februari – Kempen skuad wanita negara dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 di Qingdao, China, berakhir selepas tewas 0-3 kepada naib juara dua kali, Korea Selatan pada aksi suku akhir hari ini, iaitu kali kedua berturut-turut selepas edisi sebelum ini.
- Skuad wanita tewas 0-3 kepada Korea Selatan dalam suku akhir BATC 2026, tersingkir buat kali kedua berturut-turut.
- Pemain utama K. Letshanaa kalah 11-21, 11-21 kepada An Se Young, menambah kekalahan ketiga berturut-turut terhadapnya.
- Beregu Ong Xin Yee-Carmen Ting tewas 13-21, 9-21; Park Ga Eun menamatkan perlawanan atas Wong Ling Ching 21-16, 21-12.
- Pengarah kejurulatihan Kenneth Jonassen minta pemain belajar dari pengalaman, kembali berlatih dan tingkatkan tahap untuk masa depan.
Perseorangan utama negara, K. Letshanaa turun sebagai pemain pertama di Gimnasium Qingdao Conson, namun gagal menandingi An Se Young apabila tewas 11-21, 11-21, menjadikan kekalahan ketiga berturut-turut kepada pemain nombor satu dunia itu.
Dalam perlawanan kedua, beregu wanita negara Ong Xin Yee-Carmen Ting turut gagal menemui rentak masing-masing apabila tunduk kepada Baek Ha Na-Kim Hye Jeong, 13-21, 9-21.
Korea Selatan kemudian mengesahkan tempat ke separuh akhir hasil kemenangan straight-set menerusi pemain perseorangan kedua mereka Park Ga Eun ke atas Wong Ling Ching, 21-16, 21-12.
Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara Kenneth Jonassen mengakui pasukan Korea Selatan sememangnya terlalu kuat buat Malaysia.
“Saya nampak beberapa perkara positif dalam pemain kita terutama di peringkat awal perlawanan tetapi apabila pemain Korea meningkatkan tahap permainan mereka, kita tidak cukup untuk lawan balik dan terus bersaing.
“Banyak yang boleh dipelajari oleh pemain muda kita daripada kejohanan ini. Kita perlu kembali dan terus berlatih serta terus mencabar batas kemampuan pemain untuk mereka mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi.
Dengan keputusan hari ini, pencapaian terbaik skuad wanita negara pada kejohanan tersebut kekal dua pingat gangsa yang dimenangi pada edisi 2020 dan 2022. -BERNAMA