
KUALA LUMPUR, 11 April – Pengarah kejurulatihan beregu negara Rexy Mainaky kurang berpuas hati dengan prestasi tiga beregu utama negara dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 di Ningbo, China.
- Ketiga-tiga pasangan nombor satu negara tersingkir pada suku akhir, menggagalkan peluang pingat.
- Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas 19-21, 28-26, 13-21 kepada Kang Min Hyuk-Ki; lawan pamer permainan lebih agresif.
- Pearly Tan-M. Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei main tidak teratur, Malaysia pulang tanpa pingat sejak 2019.
Kesemua tiga pasangan nombor satu negara iaitu juara bertahan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tersingkir pada saingan suku akhir.
Rexy turut akui gandingan Korea Selatan Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju bermain dengan sangat baik sehingga memusnahkan harapan Aaron-Wooi Yik untuk mempertahankan kejuaraan selepas tewas 19-21, 28-26, 13-21.
“Mereka (Min Hyuk-Dong Ju) melakukan sedikit kesalahan dan dari segi pertukaran ke corak permainan agresif juga pihak lawan lebih baik daripada Aaron-Wooi Yik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpendapat Pearly-Thinaah, naib juara beregu wanita Kejohanan Badminton Dunia 2025, bermain dengan kurang baik.
Pasangan nombor dua dunia itu tewas menentang gandingan nombor sembilan dunia Li Yi Jing-Luo Xu Min dari China, 13-21, 15-21.
Sementara itu, Rexy turut akui prestasi Tang Jie-Ee Wei sebagai tidak teratur selepas menentang beregu Korea Selatan yang kurang dikenali Kim Jae Hyeon-Jang Ha Jeong, 19-21, 17-21.
“Mereka sangat tidak teratur, permainan mereka semua tidak menjadi,” katanya.
Keputusan semalam menandakan Malaysia pulang tanpa sebarang pingat dalam BAC buat kali pertama sejak edisi 2019 di Wuhan, China. – BERNAMA