Atletico tolak tawaran lumayan Real Madrid untuk dapatkan Julian Alvarez

Julian Alvarez kini jadi sasaran Real Madrid / AFP

MADRID, 10 Jun – Atletico Madrid bertindak menolak tawaran lumayan bernilai 150 juta euro atau ($173 juta) daripada musuh tradisi, Real Madrid, yang cuba memancing penyerang berbisa pasukan itu, Julian Alvarez.

RINGKASAN BERITA AI
  • Atletico menafikan dakwaan Real dan mengejek kenyataan itu, menyatakan mereka tidak pernah mempertimbangkan sebarang tawaran untuk Julian Alvarez.
  • Alvarez penting kepada Argentina dan Atletico, berkontrak hingga Jun 2030 dengan klausa pelepasan dianggarkan 500 juta euro.
  • Real memburu pemain selepas pemilihan semula Florentino Perez, manakala sasaran lain Michael Olise turut ditolak oleh Bayern.

Real Madrid dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan bahawa Atletico telah menyatakan penghargaan ke atas bidaan yang dikemukakan sebelum memutuskan untuk menolaknya demi mengekalkan hubungan baik antara kedua-dua kelab.

Bagaimanapun, kenyataan Real Madrid itu dibidas hebat oleh pengurusan Atletico Madrid yang menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu perkara yang melucukan.

“Anda mungkin telah terkeliru antara adab sopan dengan rasa penghargaan. Untuk menjelaskan keadaan, kami tidak berterima kasih kepada anda untuk apa-apa pun.

“Kami tidak pernah meneliti mahupun mempertimbangkan sebarang tawaran untuk Julian (Alvarez). Anda membuatkan kami ketawa lebih daripada apa yang dilakukan oleh Barcelona,” kata Atletico dalam satu hantaran balas di media sosial.

Alvarez, 26, yang merupakan watak penting ketika membantu Argentina menjulang Piala Dunia 2022, berhijrah dari Manchester City ke Atletico pada tahun 2024.

Penyerang itu mengikat kontrak bersama skuad Los Rojiblancos sehingga Jun 2030, dengan nilai klausa pelepasan dianggarkan mencecah 500 juta euro.

Pemain yang turut tersenarai dalam skuad Argentina bagi kempen Piala Dunia 2026 itu mepamerkan aksi cemerlang musim lepas dengan meledak lapan gol dalam saingan La Liga dan 10 gol dalam Liga Juara Eropah (UCL).

Langkah Real Madrid memburu penyerang prolifik itu dilakukan susulan pemilihan semula Florentino Perez sebagai Presiden Real Madrid pada Ahad lepas.

Beliau sebelum ini berjanji untuk membawa masuk pemain bintang bertaraf dunia ke Santiago Bernabeu.

Media Sepanyol sebelum ini melaporkan bahawa sasaran utama Perez ialah pemain sayap Bayern Munich, Michael Olise.

Bagaimanapun, hasrat itu berkubur selepas Presiden Bayern, Herbert Hainer menegaskan kelabnya tidak akan menjual bintang antarabangsa Perancis itu dan meminta Real Madrid untuk tidak membuang masa dengan menghantar sebarang tawaran. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.