
NILAI, 22 Ogos – Pelumba berbasikal trek Sarawak, Adib Andhar Andan mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara acara keirin lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Velodrom Nasional Malaysia, hari ini.
- Hadiahkan pingat emas sebagai kejutan hari jadi untuk ibu, Rohayu Ealhi; mereka menitiskan air mata gembira.
- Pecutan bertenaga pada selekoh terakhir memastikan kemenangan, menewaskan pelumba Johor dan pelumba Negeri Sembilan.
- Beralih ke trek tahun lalu, pengalaman Piala Dunia dan ACC tingkatkan keyakinan; kini sasarkan emas kedua dan persiapan ke Bangkok.
Lebih manis, kejayaan pelumba berusia 20 tahun itu bukan sahaja menghadiahkan emas sulung buat Bumi Kenyalang dalam acara keirin, tetapi turut menjadi hadiah istimewa bersempena hari lahir ibunya, Rohayu Ealhi.
Dalam aksi akhir enam pusingan yang berlangsung sengit, Adib melakukan pecutan bertenaga pada selekoh terakhir sebelum melintasi garisan penamat dengan catatan masa 10.440 saat pada kelajuan 68.97 kilometer sejam.
Catatan itu sudah cukup untuk menewaskan pelumba Johor, Ahmad Danial Haiqal Ahmad Rifaiee yang ketinggalan 0.383 saat untuk meraih perak, manakala Muhammad Luqman Haqim Ali Badrun dari Negeri Sembilan meraih gangsa, 0.471 saat di belakang juara.
Sejurus keluar dari trek, Adib terus menghubungi ibunya di Kuching untuk menyampaikan berita gembira itu, sehingga kedua-duanya menitiskan air mata kegembiraan.
“Pingat emas ini sebenarnya hadiah hari lahir untuk mak saya yang menyambutnya pada 29 haribulan yang lalu.
“Tadi saya terus telefon mak di Kuching dan dia menangis gembira. Saya cakap pada mak, ini hadiah bertuah untuk mak. Terima kasih banyak-banyak untuk segala doa mak selama ini.
“Kemenangan ini merupakan salah satu impian terbesar saya,” katanya penuh emosi.
Adib yang baru beralih ke disiplin trek tahun lalu selepas beraksi dalam acara lebuh raya pada edisi SUKMA sebelum ini mengakui statusnya sebagai pelumba kebangsaan sedikit menambah tekanan ketika turun beraksi.
Bagaimanapun, pengalaman bersaing di pentas antarabangsa, termasuk menentang pelumba bertaraf dunia dalam kejohanan Piala Dunia dan Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) menjadi pembakar keyakinan buatnya.
“Memang ada tekanan sebab sebagai pelumba pasukan kebangsaan, orang letak harapan tinggi. Tetapi pengalaman beraksi menentang juara-juara dunia dalam kejohanan Piala Dunia dan ACC di velodrom ini sebelum ini banyak membina keyakinan saya.
“Bila dah pernah bersaing di peringkat dunia, saya tanam keyakinan bahawa saya mampu bersaing dan menguasai perlumbaan di sini,” katanya.
Kejayaan itu turut menyuntik motivasi buat Adib untuk memburu emas keduanya dalam acara pecut esok (Ahad).
Selepas saingan SUKMA, Adib dijadualkan berlepas ke Bangkok pada 28 Ogos bagi menyertai kejohanan antarabangsa seterusnya dalam misi memburu kelayakan ke Sukan SEA.